Ringkasan AI
- Dasar Wanita Negara 2025-2030 dilancarkan untuk memperkukuh perlindungan dan pemerkasaan wanita di Malaysia, dengan fokus pada ekonomi, kepimpinan, keselamatan, dan kesejahteraan wanita.
- Kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelaku keganasan rumah tangga dan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
- Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 merangkumi aktiviti prasambutan di lima zon utama dan memberi anugerah kepada individu yang menyumbang kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata dasar baharu ini bukan sekadar menambah baik dasar sedia ada, tetapi juga memastikan tindakan lebih tegas terhadap pelaku keganasan rumah tangga serta memperkukuh aspek penguatkuasaan.
Menurutnya, kerajaan sedang mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan undang-undang sedia ada bagi menutup sebarang kelompongan dalam aspek perlindungan wanita.
“Kita sudah ada undang-undang dan pelaksanaannya juga berterusan, tetapi kita mahu ia lebih ditegaskan lagi.
"Kita sedang mengenal pasti kelemahan dari segi penguatkuasaan dan jika ada, kita akan perketatkan lagi.
“Kerajaan juga bekerjasama rapat dengan polis dan agensi lain bagi memastikan keberkesanan perlindungan wanita,” katanya.
Dasar ini dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Ia memberi tumpuan kepada empat aspek utama, iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan wanita, dalam usaha memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan negara.
Sebagai inisiatif baharu, buat pertama kalinya Sambutan Hari Wanita Antarabangsa turut merangkumi aktiviti prasambutan di lima zon utama bagi memastikan penglibatan lebih menyeluruh.
Prasambutan ini diadakan di Zon Borneo, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Tengah, dan Zon Utara, dengan penyertaan antara 500 hingga 1,000 peserta bagi setiap lokasi.
Program ini turut merangkumi pelbagai aktiviti seperti kempen kesedaran, forum dan sesi dialog bersama pemimpin wanita serta pakar industri.
Dalam majlis sama, empat individu diraikan menerusi Anugerah Kasih Wanita atas sumbangan mereka kepada masyarakat.
Penerima Anugerah Kasih Wanita Bakti, Che Norhayati Mohamed, adalah pengasas Cempaka Merah Asnaf Society yang aktif menjaga kebajikan anak yatim, asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau turut membantu mangsa banjir serta golongan miskin dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menyalurkan bantuan keperluan asas.
Anugerah Kasih Wanita Cekal diberikan kepada Nor Kamariah Mohd Khalid, bekas pesakit skizofrenia yang berjaya bangkit daripada cabaran kesihatan mental.
Beliau kini aktif menggunakan media sosial untuk membantu masyarakat, termasuk mengumpulkan dana bagi pesakit yang memerlukan rawatan perubatan.
Bekas anggota polis, Jennifer Atok, dianugerahkan Kasih Wanita Harmoni atas jasanya dalam membantu komuniti menangani isu sosial.
Berkhidmat selama 32 tahun dalam pasukan keselamatan, beliau kini aktif dalam advokasi kesedaran gangguan seksual serta menangani masalah remaja hamil di Sarawak melalui One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC).
Sementara itu, Amira Yoke Bes, guru Orang Asli dari Pahang, menerima Anugerah Kasih Wanita Komuniti atas dedikasinya dalam memperkasa pendidikan anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman.
Beliau menubuhkan Tadika Komuniti Bantuan (KBP) yang memberikan akses pendidikan awal kepada kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun, memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan.
Dasar Wanita Negara 2025-2030 menegaskan iltizam kerajaan dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, memperkasa kepimpinan wanita, memperkukuh perlindungan daripada keganasan rumah tangga serta memastikan kesejahteraan sosial golongan ini terus terpelihara.

