Skip to main content

Malaysia

DBP sokong penambahbaikan bahasa mukadimah Rukun Negara

Langkah itu seiring dengan perkembangan pesat sains, teknologi dan inovasi serta diyakini mampu mendekatkan generasi muda dengan asas pembinaan negara bangsa. - Gambar hiasan
Langkah itu seiring dengan perkembangan pesat sains, teknologi dan inovasi serta diyakini mampu mendekatkan generasi muda dengan asas pembinaan negara bangsa. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong penambahbaikan bahasa mukadimah Rukun Negara, khususnya pemilihan kata yang lebih terangkum dan teks padat, tanpa mengubah maksudnya serta mengekalkan lima prinsip sedia ada.

DBP menerusi kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu seiring dengan perkembangan pesat sains, teknologi dan inovasi serta diyakini mampu mendekatkan generasi muda dengan asas pembinaan negara bangsa.

“DBP amat menyokong penambahbaikan aspek bahasa yang dilaksanakan, khususnya keterangkuman pemilihan kata serta teks lebih padat yang seiring dengan era kemajuan pesat sains, teknologi dan inovasi.

Advertisement

“Langkah pemerkasaan ini juga diyakini dapat menyerap jiwa generasi muda berkaitan dengan asas kerukunan pembinaan negara bangsa,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBP, Kementerian Perpaduan Negara menerusi surat pemakluman bertarikh 27 Okt menyatakan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Okt bersetuju dengan pemerkasaan mukadimah berkenaan tanpa mengubah maksudnya dan dengan mengekalkan lima prinsip Rukun Negara.

Advertisement

DBP menegaskan Rukun Negara bukan sekadar simbol, sebaliknya ikrar dan janji taat setia setiap rakyat Malaysia kepada tanah air manakala bahasa kebangsaan menjadi asas penyatuan serta perpaduan bangsa.

Pemerkasaan itu juga disifatkan dapat mengukuhkan keseimbangan antara pembangunan fizikal dengan pembangunan jiwa setiap rakyat, selain menyemai tanggungjawab membangunkan negara dan mempertahankan warisan untuk generasi akan datang.

Rukun Negara, yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, mengandungi dua bahagian, iaitu objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk dan lima prinsip yang menjadi panduan kehidupan bernegara. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement