MALAYSIA
Dilarang ke luar negara: ‘Apa kesalahan aku?’ - Fahmi Reza tuntut jawapan

Selepas dilarang ke Sabah, aktivis Fahmi Reza meluahkan kekecewaan kerana dilarang ke luar negara, dan perlu merujuk kepada Bukit Aman. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas dilarang ke Sabah kerana didakwa mengkritik pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, aktivis dan pelukis bebas Fahmi Reza kini dilarang pula meninggalkan negara ini.
Dalam perkongsian terbaharu di laman media sosialnya, dia memaklumkan perjalanannya ke Singapura untuk menonton konsert terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), apabila dimaklumkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia bahawa namanya telah disenaraihitamkan.
Ketika ditanya, dia hanya dimaklumkan arahan itu datang dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, namun tidak dinyatakan alasan sebenar.
“Sampai KLIA2 jam 7:30 pagi ni untuk catch flight pukul 9:35. Seperti biasa, aku kena tahan di kaunter imigresen pelepasan antarabangsa, dan diminta duduk di ofis imigresen sementara pegawai periksa dengan TCO.“Pegawai imigresen tanya aku nak ke mana? Aku jawab, "Singapura, dua hari." Dia minta flight number (nombor pesawat). Aku jawab, "AK707." Aku diminta tunggu. Lepas hampir setengah jam, pegawai imigresen minta pasport dan IC (kad pengenalan) aku untuk buat salinan fotokopi. Dia minta salinan boarding pass dan tiket flight aku sekali.
“Aku tunjuk e-boarding pass dan e-ticket dari telefon bimbit. Tapi dia nak versi cetak. Walaupun dalam ofis tu ada printer (mesin pencetak) dan mesin fotostat, dia suruh aku cari sendiri tempat untuk cetak. Masa tu hanya tinggal 10 minit sebelum berlepas, dan 30 minit sebelum pintu ditutup,” katanya lagi.
Sejurus selepas itu, Fahmi berkata, dia berjaya membuat salinan berkenaan dengan bantuan pekerja lapangan terbang, dan bergegas kembali ke pejabat JIM, namun kecewa apabila namanya telah disenaraihitamkan oleh Bukit Aman.
“Dia (pegawai JIM) escort aku keluar dari kawasan pelepasan antarabangsa, tak bagi aku naik pesawat, tak benarkan aku ke luar negara.
“Apa kesalahan aku? Hanya polis Bukit Aman dan Kerajaan MADANI yang boleh jawab. Aku hanya buat lukisan yang mengkritik pelantikan TYT Musa Aman dan kritik Kerajaan MADANI. Minggu lepas aku kena blacklist (disenarai hitam), dihalang masuk Sabah. Minggu ni aku kena blacklist lagi, dihalang ke luar negara,” luahnya lagi.
Untuk itu, Fahmi berkata, dia menganggap itu 'hadiah hari jadi' yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami