TAK: "Saya direnjat dengan elektrik lebih daripada 10 kali dan diseksa hampir setiap minggu sepanjang tempoh saya dikurung di pejabat mereka," kata seorang rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.


Ringkasan AI
  • Seorang rakyat Malaysia, Teo, diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar setelah diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebagai penterjemah di Thailand.
  • Teo dan mangsa lain dipaksa bekerja dalam keadaan yang teruk, termasuk dikenakan renjatan elektrik dan dipukul jika gagal mencapai sasaran.
  • Kedutaan Besar Malaysia di Thailand sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk membawa pulang 15 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari sindiket tersebut.


Lelaki berusia 45 tahun berasal dari Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Teo berkata, dia diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebagai penterjemah di Thailand dengan gaji RM7,000 pada Ogos 2023.

Menceritakan detik-detik hitam sepanjang lebih 16 bulan kepada Bernama, Teo berkata dia tertarik dengan iklan di Facebook yang menawarkan jawatan penterjemah di Bangkok untuk sebuah syarikat dagangan, dengan jangkaan hanya perlu berada di Thailand selama seminggu.

"Saya menghubungi seorang individu bernama Alex daripada iklan itu, dan dia memberitahu bahawa seseorang akan menjemput saya di lapangan terbang sebaik tiba di Bangkok.

"Namun, saya mula curiga apabila perjalanan dari lapangan terbang Bangkok mengambil masa enam jam, menukar kenderaan sebanyak tiga kali, sebelum tiba di Mae Sot berhampiran sungai.

"Kemudian, saya dipaksa menyeberang ke Myanmar dan dilatih menjadi scammer," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kem Tentera Fort Vachiraprakan, Wilayah Tak, utara Thailand pada Ahad.

Teo berkata, dia dipaksa bekerja selama 14 jam sehari dengan tugasan harian menyusun sekitar 10,000 nombor telefon untuk sindiket berkenaan.

Katanya, satu-satunya bayaran yang diterima hanyalah elaun sara hidup sebanyak 5,000 baht untuk tiga bulan pertama, dan sesiapa yang cuba melarikan diri akan dihukum.

"Mereka yang gagal menyelesaikan tugasan akan dihukum oleh penyelia, termasuk dikenakan renjatan elektrik, dipukul atau dikurung dalam bilik gelap tanpa seurat benang," katanya.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang diselamatkan, Mohd Shahdan, 29, dari Kuala Lumpur berkata setiap individu diberi tugasan berbeza dan tugasnya adalah mencari nombor telefon yang disenaraikan di media sosial.

"Selepas memperoleh nombor telefon, saya perlu berhubung dengan sekurang-kurangnya 70 individu setiap hari, dari 10 pagi hingga 3 pagi keesokan harinya, sebelum dibenarkan tidur.

"Mereka memberi renjatan elektrik dan merotan saya apabila saya gagal mencapai sasaran mendapatkan maklumat daripada mangsa yang berpotensi," katanya sambil menunjukkan kesan luka dan lebam di tangannya.

Shahdan turut mendedahkan bahawa semua pekerja hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit selama 30 minit sebulan, dengan perbualan diawasi ketat oleh penyelia.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ong, 19, yang berasal dari Pulau Pinang berkata dia terperdaya dengan tawaran seorang lelaki yang mengaku berasal dari Taiwan.

Lelaki itu dikenalinya menerusi media sosial dan menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di Thailand, namun dia akhirnya dibawa ke Myanmar tanpa sebarang dokumen perjalanan.

"Saya tiba di Myanmar pada Oktober 2023. Seperti ramai yang lain, kami dipaksa bekerja mengikut arahan mereka tetapi hanya diberikan tempat tidur dan makanan.

"Kami akan dihukum dengan rotan, dipaksa melakukan tekan tubi atau dikurung dalam bilik gelap jika gagal mencapai sasaran yang ditetapkan syarikat penipuan itu," katanya.

Teo, Shahdan dan Ong merupakan antara 15 rakyat Malaysia daripada 261 mangsa yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dari sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar, sebelum dipindahkan ke Thailand untuk dihantar pulang pada Rabu lalu.

Pada Ahad, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand mengadakan lawatan konsular ke atas 15 rakyat Malaysia yang berusia antara 19 hingga 44 tahun, termasuk tiga wanita.

Ketika ini, kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi menyegerakan proses dokumentasi perjalanan agar kesemua mangsa dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.

-- BERNAMA