Skip to main content

Malaysia

DKU dibenarkan mencelah saman pemula berhubung isu pembatalan pelantikan Exco NS

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dimasukkan sebagai defendan ketiga dalam saman pemula yang difailkan berhubung isu pembatalan pelantikan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). - Foto hiasan
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dimasukkan sebagai defendan ketiga dalam saman pemula yang difailkan berhubung isu pembatalan pelantikan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). - Foto hiasan

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dimasukkan sebagai defendan ketiga dalam saman pemula bekas Exco.
  • Permohonan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, untuk dimasukkan sebagai defendan secara peribadi ditolak kerana tiada hak atau liabiliti undang-undang peribadi terjejas.
  • Hakim menegaskan kehadiran DKU penting kerana kepentingan undang-undang berkaitan tafsiran dan pemakaian Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Advertisement

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dimasukkan sebagai defendan ketiga dalam saman pemula yang difailkan berhubung isu pembatalan pelantikan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Bagaimanapun, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin untuk dimasukkan sebagai defendan dalam saman itu atas kapasiti peribadi beliau selepas memutuskan beliau gagal membuktikan sebarang hak atau liabiliti undang-undang peribadi yang akan terjejas secara langsung.

Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata DKU telah membuktikan wujud kepentingan undang-undang secara langsung yang berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) berhubung perkara yang menjadi subjek saman pemula itu.

Advertisement

"Pertama, saya mendapati bahawa perintah yang mengenal pasti Undang yang memegang jawatan pada 20 Sept akan dibuat berdasarkan nasihat DKU bertarikh 1 Ogos dan 13 Sept atau sebaliknya, dan sama ada nasihat itu bersifat mutlak serta tidak boleh dicabar di bawah Perkara 16(3) UUTKNS adalah persoalan yang menyentuh fungsi perlembagaan DKU secara langsung," katanya pada prosiding itu yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Beliau juga berkata memandangkan Undang adalah anggota DKU di bawah Perkara 17 UUTKNS maka sebarang deklarasi berhubung identiti mereka pada hakikatnya akan menentukan komposisi keanggotaan DKU itu sendiri.

Advertisement

“Ini adalah kepentingan sah yang berlandaskan UUTKNS, bukannya kepentingan komersial... ia timbul daripada perkara pokok dalam saman pemula itu sendiri seperti yang ditakrifkan dalam permohonan 3 soalan 5 serta keterangan plaintif sendiri, dan bukannya daripada pertikaian lain yang berkaitan.

“Oleh itu, kehadiran DKU sememangnya perlu bagi memastikan perkara ini, yang mungkin dibangkitkan, dapat diputuskan secara berkesan dan menyeluruh,” katanya.

Kesemua bekas Exco telah memfailkan saman pemula berhubung tafsiran UUTKNS dan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan.

Mahkamah mengambil maklum bahawa walaupun DKU tidak mempunyai sebarang peranan berkaitan pelantikan atau pembatalan jawatan Exco, kepentingannya terletak pada tafsiran dan pemakaian istilah “Raja Pemerintah” dalam Perkara 28(1) UUTKNS, sebagaimana dibangkitkan oleh pihak-pihak yang terlibat.

Susulan keputusan itu, Roz Mawar merekodkan pengesahan daripada peguam plaintif bahawa saman pemula berkenaan akan diteruskan tanpa meminta mahkamah menentukan kesahihan pemasyhuran bertarikh 19 April ataupun menentukan pihak yang memegang jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Terdahulu, peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah, yang mewakili kesemua plaintif, berhujah bahawa permohonan untuk mencelah itu hendaklah ditolak atas alasan mereka gagal membuktikan sebarang hak atau kepentingan undang-undang secara langsung berkaitan perkara yang menjadi subjek saman pemula berkenaan.

Beliau berkata saman pemula itu hanya menyentuh isu perlembagaan, iaitu kesahihan pembatalan pelantikan kesemua plaintif sebagai Exco di bawah Perkara 28, Perkara 38 dan Perkara 40 UUTKNS yang sama sekali berbeza daripada dakwaan penghinaan mahkamah yang dibangkitkan dalam satu lagi saman pemula.

Plaintif turut diwakili peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Luqman Hakeem Abas.

Peguam Steven Thiru, yang mewakili DKU dan Raja Norazli, pula membantah hujah itu atas alasan pihak yang berdepan permohonan bagi kebenaran memulakan prosiding komital perlu terlebih dahulu mematuhi perintah mahkamah sebelum memohon remedi perlembagaan substantif di mahkamah lain.

Beliau juga berhujah bahawa DKU, sebagai badan perlembagaan negeri yang penting terdiri daripada para Undang di bawah Perkara 28(1) UUTKNS, memiliki kepentingan undang-undang yang jelas untuk turut serta dalam prosiding itu.

DKU turut diwakili peguam-peguam David Mathew, Shafrin Halim dan Gurjeevan Singh.

Roz Mawar kemudian menetapkan 16 Nov ini untuk mendengar bantahan awal defendan yang mencabar penggunaan saman pemula bagi memulakan prosiding itu atas alasan perkara tersebut sepatutnya dibawa ke mahkamah melalui permohonan semakan kehakiman.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement