Memetik Bernama, Gunasegaran, 26, dan Anbu Selvan Ganesan, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil bahagian dalam rusuhan dan semasa rusuhan tersebut memiliki pisau yang digunakan untuk menyerang dalam kejadian pada pukul 6.18 pagi, 29 Januari lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Vivi'Asnita Zaina'Larifin tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua lelaki itu.
Bagaimanapun, peguam Varghese Onny memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan mereka menanggung keluarga.
"Agilan bekerja sebagai tukang gunting rambut dengan pendapatan RM1,800 manakala Anbu Selvam seorang pekerja kilang yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan RM1,500. Mohon kedua-dua tertuduh diberikan ikat jamin," kata peguam itu seperti dilapor Bernama, hari ini.
Majistret M.S. Arunjothy kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, video berdurasi 48 saat tular di Facebook, menunjukkan dua kenderaan dipandu secara berbahaya dan sengaja merempuh sekumpulan lelaki di kawasan tersebut.
Seorang lelaki tercampak selepas dilanggar oleh Toyota Hilux, manakala Toyota Vios turut merempuh lebih ramai individu yang berkumpul di lokasi kejadian.