Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah malam itu, mangsa Arif Zaidi Zainurrizam, 20, dan Nur Azreen Najwa Roslan, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Nissan Serena dipandu lelaki berusia 48 tahun dari arah Kluang menghala ke Kota Tinggi, manakala empat penunggang motosikal terlibat pula dari arah Kota Tinggi menghala ke Kluang.
"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal dipercayai telah masuk ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta Nissan Serena, manakala sebuah lagi motosikal pula telah digesel dengan sebuah motosikal dari arah yang sama, menyebabkannya hilang kawalan lalu terbabas di lorong kanan menghala ke Kluang.
"Akibat kemalangan itu, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sementara siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam kenyataan semalam.
Bahrin berkata dua lagi penunggang motosikal yang merupakan remaja berusia 17 dan 16 tahun hanya cedera ringan, sementara pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
