Skip to main content

Malaysia

Dua premis di Jalan Mahkota, Kuantan terbakar

Sumber: BERNAMA
Struktur bangunan lama yang banyak menggunakan bahan kayu juga menyebabkan api merebak dengan cepat. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUANTAN: Dua premis di bangunan lama di Jalan Mahkota di sini terbakar malam tadi, memusnahkan sebahagian besar tingkat atas sebuah kedai pakaian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.33 malam dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan merupakan pasukan pertama tiba di lokasi.

"Ketika tiba, api sedang marak di tingkat atas kedai nombor 43 yang melibatkan sebuah kedai pakaian dan telah merebak di tingkat atas sebelah premis berkenaan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini. 

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kebakaran berlaku sepenuhnya di tingkat atas kedai pakaian itu yang dipercayai menjadi lokasi awal kejadian, manakala tingkat bawah tidak menunjukkan kesan terbakar yang ketara.

"Kerja pemadaman masih dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang tertinggal dan mengelakkan kejadian kebakaran semula. Operasi berjalan lancar tanpa sebarang masalah sumber air dan tiada anggota bomba mengalami kecederaan," katanya.

Mohd Razam berkata siasatan lanjut akan dijalankan oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan anggaran nilai kerugian.

Selain itu, beliau berkata struktur bangunan lama yang banyak menggunakan bahan kayu juga menyebabkan api merebak dengan cepat, selain kedua-dua bangunan berkenaan dipercayai berusia lebih 100 tahun.

Beliau berkata operasi pemadaman dan penyelamatan melibatkan 33 anggota daripada empat balai bomba di sekitar Kuantan iaitu BBP Kuantan, Indera Mahkota, Gebeng, Taman Tas dan Peramu, dengan sembilan jentera pelbagai jenis dikerahkan termasuk jentera tangga dan lori tangki.

Pemilik kedai pakaian berkenaan, Norhan Mohd Nor, 51, berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu kira-kira 11.30 malam sebelum tiba di premis berkenaan 15 minit kemudian.

Beliau berkata premis itu menjadi pusat penyimpanan dan pengedaran stok bagi dua cawangan kedai pakaian miliknya di Kuantan, selain menyimpan sejumlah besar stok baharu untuk persediaan musim perayaan.

"Banyak stok raya baru masuk dan barang-barang itu memang disimpan di sini dan memang tak boleh nak buat apa dah. Kedai ini menjadi pusat untuk mengedarkan stok ke tempat lain, jadi kerugian memang besar," katanya ketika ditemui Bernama. 

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement