KENINGAU: Dua remaja yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Pagalan, di sini, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Ahad.
Jasad mangsa pertama, Jastey Goment, 16, ditemukan pada jam 10.34 pagi manakala, mangsa kedua, Khend Romel Ponce Caceres, 13, ditemukan pada jam 3.55 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus Nidzam Sainkui berkata, operasi SAR kedua-dua mangsa yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 9 pagi Ahad.
"Operasi SAR dibahagikan kepada dua bahagian iaitu menggunakan pasukan pertama melakukan pencarian di kawasan permukaan air sepanjang tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang manakala pasukan kedua, menggunakan kaedah tali sejauh 500 meter dari lokasi mangsa terakhir dilihat.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pula melakukan selaman pertama pada jam 10.30 pagi dan kira-kira empat minit kemudian berjaya menemui jasad mangsa pertama di kedalaman lima meter dan sejauh 50 meter dari dia dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, operasi SAR diteruskan untuk mencari mangsa dengan kaedah selaman oleh PPDA.
"Mangsa kedua kemudian ditemukan pada jam 3.55 petang iaitu kira-kira 80 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Kedua-dua mangsa telah ditemui ketika masih di dalam dasar dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.
Susulan penemuan itu, Severinus berkata, operasi SAR berkenaan telah ditamatkan.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan mereka di sungai tersebut. - Sinar Harian