KOTA BHARU: Dua sahabat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan senjata dan mencederakan dua lelaki di Bachok, pada 30 Jan.

Mohamad Alif Ahmad, 30, dan Mohd Hasimi Mohamud, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mereka didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun pada 12.30 tengah malam, di Kampung Chap Jelawat, Bachok, pada 30 Jan.

Pendakwaan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat.

Kedua-dua lelaki itu juga didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan menggunakan sebilah parang dan pisau terhadap seorang warga Pakistan pada 1.30 pagi, pada 30 Janm di sebuah kedai runcit di Bukit Marak, Padang Lati, Bekelam Hilir, Bachok.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan penjara selama 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam.

Hakim Zulkifli Abllah menetapkan 9 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

-- BERNAMA