Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama memperdagangkan 14 pistol dan satu laras ‘sub machine gun’ tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Desa ParkCity, Sentul, pada jam 5.30 petang, 16 Januari lalu.
Tertuduh, Cheng Ming Hung, 26, dan Hsueh Chun Ta, 33, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki satu pistol tiruan yang berjenama ‘five-seven MK2P’ dan dua kelopak peluru kosong tanpa alasan sah. Kesalahan ini didakwa dilakukan di kediaman yang sama pada tarikh yang sama.
Berikut pertuduhan ini, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Berbahaya 1960, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki 14 pistol, satu ‘sub machine gun’ serta 900 butir peluru tanpa kebenaran sah di lokasi dan tarikh yang sama.
Pertuduhan ini dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana kes ini tergolong dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan oleh mahkamah pada 12 Mac 2025.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)