IPOH: Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua wartawan di Menglembu pada Ahad lepas, mendakwa kejadian itu berpunca daripada microsleep atau terlelap seketika.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.
Beliau berkata hasil ujian air kencing ke atas pemandu lori berusia 35 tahun mendapati lelaki itu negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Pemandu lori itu telah diambil keterangan. Ia memang satu kesalahan iaitu langgar belakang dan tindakan kita akan ambil nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Mohd Alwi berkata setakat ini, polis masih belum memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada mana-mana pihak selain lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup.
Dalam kejadian Ahad lepas, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan The New Straits Times (NST) Zahratulhayat Mat Arif, 37, mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kira-kira 5.45 pagi.
Kedua-dua mereka yang menaiki kereta Perodua Bezza dalam perjalanan untuk membuat liputan program melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.
-- BERNAMA