GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bertafakur selama seminit bagi memperingati bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang Ahmad Radhi Pachee, yang meninggal dunia 22 Sept lepas, pada usia 95 tahun.
Sebelum memulakan persidangan hari ini, Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri berdiri dan bertafakur bagi mengenang jasa serta sumbangan Allahyarham sepanjang perkhidmatannya.
“Saya mohon hadirin untuk bertafakur selama satu minit. Hadirin mohon berdiri,” katanya.
Ahmad Radhi berkhidmat sebagai ADUN Telok Bahang bagi penggal 1978 hingga 1982.
Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15 yang bermula hari ini bakal menyaksikan sebanyak 74 soalan lisan, 798 soalan bertulis, dua usul serta lima rang undang-undang dibentangkan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow turut dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 negeri pada 3 petang ini.
-- BERNAMA