KUALA LUMPUR: Sistem e-Sepakat digunakan Kementerian Perpaduan Negara untuk memantau sebarang isu-isu perpaduan yang dibangkitkan di setiap peringkat masyarakat. 


Ringkasan AI
  • Pemantauan Isu Perpaduan: Sistem e-Sepakat digunakan oleh Kementerian Perpaduan Negara untuk memantau isu-isu perpaduan dan sensitif yang dibangkitkan di semua peringkat masyarakat, terutama semasa musim pilihan raya. Peranan Pemimpin: Pemimpin memainkan peranan besar dalam pengurusan isu perpaduan kerana pengaruh mereka yang luas, dan isu-isu sensitif yang dibangkitkan oleh mereka cenderung menjadi lebih tular. Kempen Cakap Baik-Baik: Kementerian Perpaduan memperhebatkan Kempen Cakap Baik-Baik dengan sokongan Astro Malaysia Holdings Bhd untuk memupuk budaya komunikasi positif dan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.


Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata sistem berkenaan turut memantau isu-isu sensitif yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin tempatan.

"Kita di Kementerian Perpaduan dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) ada satu sistem iaitu e-Sepakat. 

“Kita pantau isu-isu yang disentuh oleh individu-individu di semua peringkat komuniti. Kita laporkan kepada satu jawatankuasa untuk selesaikan isu-isu berbangkit. 

“Sistem e-Sepakat ini juga menunjukkan bahawa isu-isu perpaduan paling tinggi disentuh pada musim pilihan raya. Maka kita faham siapa yang menyentuh perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Tambah Mohamad Sobri pemimpin memainkan peranan besar dalam pengurusan isu perpaduan memandangkan pengaruh mereka yang luas. 

“Kalau kita sebagai orang biasa yang sentuh (isu sensitif) ia kurang tular. Kalau pemimpin yang sentuh (isu sensitif), lebih-lebih lagi di Parlimen maka suhunya akan jadi lebih tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, beliau memaklumkan, pihak kementerian turut menyediakan inisiatif untuk meningkatkan semangat jati diri dan kenegaraan dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat pemimpin.

Dalam perkembangan berasingan pada Selasa, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi satu kenyataan memaklumkan Kempen Cakap Baik-Baik akan diperhebatkan dengan sokongan penuh daripada Astro Malaysia Holdings Bhd bagi memastikan budaya komunikasi berhemah terus diterapkan dalam masyarakat.

Kempen Cakap Baik-Baik dilaksanakan Kementerian Perpaduan adalah satu usaha berterusan kerajaan dalam memupuk budaya komunikasi positif selain memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara.

Kempen tersebut menyasarkan rakyat Malaysia pelbagai latar belakang sekali gus melibatkan semua pihak termasuk media, pemimpin komuniti serta individu.