JASIN: Enam individu termasuk dua kanak-kanak terselamat apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Kilometer 24, Kampung Air Panas, Bemban di sini malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.46 malam dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari digerakkan ke lokasi.
“Berlaku kejadian pokok tumbang yang menghempap sebuah kereta.
“Kesemua individu dalam kereta itu bagaimanapun selamat tanpa sebarang kecederaan selepas berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dan kereta itu hendak memasuki simpang menghala ke kediaman mereka.
Mohd Hafidzatullah berkata pasukan bomba BBP Jasin Bestari dengan bantuan BBP Jasin telah menjalankan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya pada 11.01 malam.
-- BERNAMA