Ringkasan AI
- Enam bekas pelajar UPNM yang dihukum gantung kerana membunuh tanpa niat Zulfarhan Osman, lapan tahun lalu, bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan memerintahkan mereka dijel 18 tahun.
- Peguam Datuk Seri M Ramachelvam menyatakan bahawa kesemua tertuduh dijangka selesai menjalani hukuman dalam empat tahun lagi, kerana tempoh hukuman dikurangkan kepada 12 tahun jika berkelakuan baik.
- Ramachelvam menekankan bahawa tertuduh insaf dan menyesal atas perbuatan mereka, dan memohon agar mereka diberi peluang untuk memulakan kehidupan baru dan menyumbang kepada masyarakat.
Ramachelvam yang mewakili perayu keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat, 29, berkata, semua bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sepatutnya menjalani hukuman penjara 18 tahun, namun tempoh itu dikurangkan kepada 12 tahun sekiranya berkelakuan baik.
Beliau berkata, memandangkan mereka telah ditempatkan di penjara sejak tahun 2017, maka mereka masih ada baki empat tahun sahaja lagi untuk menyelesaikan hukuman itu.
Beliau berkata, ia berdasarkan pertimbangan hukuman pemenjaraan dikurangkan satu per tiga daripada jumlah hukuman.
“Mereka insaf dan mengaku tidak sengaja melakukan kesalahan berkenaan sehingga membawa kepada kematian Zulfarhan.
“Ini merupakan pengalaman pahit buat mereka, namun mereka menyesal dengan perkara yang berlaku.
“Mereka juga sangat malu dengan perbuatan sendiri kerana menyebabkan kematian arwah lapan tahun lalu,” katanya.
Selain itu beliau berkata, kedua-ibu bapa anak guamnya telah memohon maaf kepada keluarga Zulfarhan di atas perkara terbabit.
Beliau berkata, perbuatan tersebut dilakukan ketika mereka masih muda maka hukuman pemenjaraan itu akan memberi keinsafan kepada mereka.
Beliau memohon semua pihak memberi mereka peluang untuk memulakan kehidupan bahawa dan menyumbang kepada masyarakat.
Sementara itu, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili dua daripada enam tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi dan Muhammad Azamuddin berkata, dalam kes ini tiada pihak yang menang atau kalah kerana Zulfarhan sudah meninggal dunia.
“Mereka sudah hilang masa depan malah sedang menjalani hukuman,” katanya.
Pada Jumaat, enam bekas pelajar UPNM yang dihukum gantung kerana membunuh tanpa niat Zulfarhan Osman, lapan tahun lalu bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan di sini memerintahkan mereka dijel 18 tahun.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim memutuskan demikian selepas mengetepikan hukuman Mahkamah Rayuan dengan mengembalikan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 lalu. -Sinar Harian
