KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pampasan RM1.39 juta yang telah dibayar oleh Kerajaan Malaysia kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd bagi pengambilan 263.272 ekar tanah yang dikenali sebagai Enklaf Duta pada 1956 adalah lebih daripada memadai.
Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di Kementerian Kewangan Tan Tat Khuan, 40, berkata hasil analisisnya mendapati perbandingan keenam, iaitu di Lot 1348, Mukim Kuala Lumpur merupakan perbandingan terbaik kerana ia mempunyai ciri sama, iaitu tanah pertanian berpegangan kekal.
"Saya telah menyediakan laporan penilaian pakar untuk menentukan pampasan secukupnya selaras dengan Perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 24 Jun 2025, yang antara lain menetapkan bahawa tarikh penilaian bagi menentukan pampasan tanah tersebut adalah pada 3 Dis 1956.
"Selepas dilaraskan faktor masa, lokasi, lapisan, akses, potensi pembangunan, saiz, bentuk dan rupa bumi, kadar terlaras perbandingan keenam adalah $3,320 seekar. Dengan mengambil kira keluasan tanah 263.272 ekar, jumlah nilai pasaran yang ditentukan adalah $875,000 atau bersamaan RM875,000," katanya.
Saksi defendan itu berkata demikian dalam pernyataan saksinya semasa perbicaraan penilaian pampasan Enklaf Duta di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.
Jelas Tan, sekiranya mahkamah bersetuju menggunakan keseluruhan keluasan hak milik 700.75 ekar sebagai asas penilaian dan diselaraskan mengikut keluasan tanah yang diambil, iaitu 263.272 ekar, jumlah pampasan yang disyorkannya berdasarkan Asas Penilaian 1 ialah $875,000 bersamaan dengan RM875,000.
"Memandangkan pihak kerajaan sebelum ini telah membayar pampasan sebanyak $1,390,602.70 (pada 1956) kepada pihak plaintif (Semantan Estate), jumlah tersebut adalah lebih tinggi daripada jumlah pampasan yang saya syorkan berdasarkan Asas Penilaian 1.
"Justeru, pada pandangan saya, pampasan yang telah dibayar kepada pihak plaintif adalah lebih daripada memadai dan tiada pampasan tambahan wajar dipertimbangkan oleh mahkamah," katanya.
Sementara itu, Tan berkata setelah meneliti laporan yang disediakan saksi pakar plaintif, penilai bagi Semantan Estate, Foo Gee Jen, beliau merumuskan bahawa semua perbandingan yang digunakan melibatkan plot banglo bersaiz kecil, sedangkan tanah subjek merupakan tanah pertanian berpotensi kediaman yang bersaiz sangat besar.
Beliau berkata tiga perbandingan melibatkan transaksi selepas tarikh penilaian dan tidak boleh diambil kira selaras dengan Perenggan 1C, Jadual Pertama, Akta Pengambilan Tanah 1960, selain pakar plaintif gagal mengambil kira faktor akses, kegunaan tanah serta kenaikan nilai tanah baki akibat pengambilan.
Tan berkata tuntutan pecah pisah dan kesan kemudaratan yang dikemukakan pakar plaintif juga tidak berasas, tidak relevan, tidak kukuh dan tidak boleh dipertimbangkan.
"Berdasarkan rumusan saya, laporan yang disediakan oleh pakar plaintif adalah tidak munasabah dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dijadikan sandaran oleh mahkamah. Sehubungan dengan itu, saya mengesyorkan agar mahkamah menolak laporan penilaian tersebut," katanya.
Perbicaraan bersambung 16 Okt ini.
Pada 13 Nov 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat berkenaan.
Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa, kerana syarikat itu tidak boleh meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan dan kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.
Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah itu, tetapi syarikat berkenaan berhak mendapat pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah tersebut pada tahun 1956, apabila ia diambil alih oleh kerajaan.
Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
-- BERNAMA