Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihak berkenaan terlibat secara langsung berdasarkan bidang tugas termasuk untuk melengkapkan segala urusan tanah.
"Ia bukan kerja satu orang, dia ada link, jalinan dengan beberapa jabatan malahan institusi yang ada di luar supaya dapat melengkapkan proses berkenaan.
"Setakat ini ada pejabat (firma) peguam dan pegawai dari pejabat (Pejabat Daerah dan Tanah atau PDT) berkenaan. Itu yang terakhir kita dapat kenal pasti," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga) yang ingin tahu sama ada wujudnya entiti lain selain PDT terlibat dalam isu kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.
Sebelum ini, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Datuk Dr Yusri Zakariah mengesahkan tujuh kakitangan PDT Klang antara 17 penjawat awam yang ditahan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di Selangor.
Dalam pada itu, Amirudin berkata penyelesaian berhubung pampasan terhadap pemilik tanah yang terlibat akan diteliti kes ke kes kerana ia melibatkan jumlah yang tinggi dan kerajaan negeri akan mencari tanah ganti dengan persetujuan semua pihak.
"Selain pemilik tanah yang mendapat kesan daripada (kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah), kerajaan negeri sendiri (turut terkesan) kerana kita terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi menangani hal-hal seperti ini.
Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya juga sedang menyemak kekurangan atau kelonggaran ketika proses transisi pertukaran sistem manual kepada e-tanah dalam mengelakkan pembangunan bertindih serta pemilikan tanah tidak jelas yang memberi kesan buruk kepada pemilik dan kerajaan negeri.
Amirudin juga memaklumkan kerajaan negeri mengenal pasti terdapat sekurang-kurangnya tiga kes pindah milik tanah secara tidak sah dan ada sebahagian individu yang terlibat telah meninggal dunia serta pencen.
"Tapi apa yang kita boleh lakukan adalah buat laporan polis dan polis akan buat siasatan. Kalau pegawai itu ada di situ (PDT) kita tukar ke tempat lain atau paling tidak kenakan beberapa sekatan dengan peraturan dan penggantungan," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata selain tindakan disiplin, turut dilaksanakan adalah program taklimat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta program peningkatan integriti.
"Jabatan Perkhidmatan Awam juga sedang melaksanakan pusingan kerja supaya mana-mana pegawai tidak berada di satu tempat terlalu lama dan memungkinkan berlaku peristiwa yang tidak inginkan (penyelewengan)," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan setiap pejabat tanah untuk menjalankan audit dan pemeriksaan bagi memastikan peristiwa itu tidak berulang walaupun ketika ini hanya satu pejabat tanah didapati terlibat.
-- BERNAMA
