SEREMBAN: Pembantu penjaga kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di sini yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan Ogos tahun lalu, telah menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, pembantu penjaga kanak-kanak, menukar pengakuan kepada bersalah atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan di Mahkamah Sesyen.
  • Kesalahan dilakukan pada Ogos tahun lalu di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria, Rasah, dengan menekap sudu besi panas di lengan kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan.
  • Tertuduh boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali. Mahkamah menetapkan 19 Mac depan untuk penyediaan laporan sosial dan fakta hukuman.


Tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 21, menukar pengakuan ketika prosiding mendengar keputusan representasi di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dan Datin Surita Budin.

Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Kesalahan itu dilakukan sekitar bulan Ogos di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah, Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001[Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, pihak pendakwaan memaklumkan yang representasi tersebut telah ditolak, namun terdapat perkembangan terkini dan memohon pertuduhan dibacakan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac depan untuk penyediaan laporan sosial dan fakta hukuman.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin dan Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Boestamam Ahmad.

Media pada 18 Oktober lalu melaporkan pihak pembelaan yang mewakili Puteri Nurin Amalina akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan pengabaian terhadap empat kanak-kanak yanh dihadapinya.

Perkara terbabit dimaklumkan peguam Najib Zakaria bersama Doreena Abdullah yang mewakili tertuduh ketika itu.

Najib dan Doreena adalah barisan peguam yang dilantik bagi mewakili GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH). -Sinar Harian