KUALA LUMPUR: Lima lelaki tempatan berusia 19 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan dan rusuhan di hadapan sebuah kelab malam di Pudu, di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman, berkata penahanan itu susulan polis mengesan rakaman video berdurasi 38 saat yang memaparkan kejadian berkenaan yang tular di media sosial pada Ahad lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu sebelum keadaan berlarutan sehingga mencetuskan pergaduhan besar di luar kelab berkenaan.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya dalam kenyataan, di sini pada Selasa.
Annas berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah kekerasan dan dadah.
"Kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 4 September ini bagi membantu siasatan.
"Polis masih giat mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai masih bebas," katanya.
Beliau memberitahu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Jeychandran Velayudan di talian 03-9289 9222 / 010-214 6297 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.