KUALA LUMPUR: Penetapan gaji pekerja perlu mengambil kira realiti kos sara hidup semasa, supaya pendapatan yang diterima benar-benar mampu menjamin kebajikan pekerja dan keluarga mereka.
Presiden UNI Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata kajian semula Perintah Gaji Minimum 2024 yang sedang dilaksanakan kerajaan penting bagi menentukan sama ada kadar semasa masih relevan dengan keadaan ekonomi dan keperluan pekerja.
Menurutnya, peningkatan atau perubahan kos makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan serta keperluan asas memberi kesan langsung terhadap kuasa beli pekerja, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Bagi pekerja, isu gaji bukan sekadar mengenai satu angka di atas slip gaji. Persoalan yang lebih penting ialah apa yang mampu dibeli dengan gaji tersebut dan sama ada ia mencukupi untuk pekerja memenuhi keperluan asas keluarga mereka.
“Apabila kos sara hidup berubah, nilai sebenar pendapatan pekerja juga berubah. Sebab itu kadar gaji perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya kebajikan dan kuasa beli pekerja terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Shafie berkata pekerja merupakan antara tonggak utama pembangunan ekonomi negara, sekali gus kebajikan mereka perlu terus diberi perhatian dalam pembentukan dasar pasaran buruh.
Menurutnya, pekerja tidak seharusnya berada dalam keadaan sebahagian besar pendapatan bulanan hanya cukup untuk menampung keperluan asas tanpa mempunyai ruang kewangan bagi menghadapi kecemasan, membiayai pendidikan anak atau membina simpanan.
Tegasnya, kebajikan pekerja bukan bermaksud menyediakan kehidupan mewah, sebaliknya memastikan seseorang yang bekerja mempunyai kemampuan untuk membayar bil, membeli makanan, menjaga kesihatan, menyimpan serta menghadapi perbelanjaan tidak dijangka.
Bagaimanapun, Mohamed Shafie menegaskan kajian semula berkenaan tidak bermaksud kadar gaji minimum perlu dinaikkan secara automatik.
Sebaliknya, proses itu perlu menjadi ruang kepada kerajaan, wakil pekerja dan majikan untuk menilai pelbagai indikator sebelum menentukan sama ada kadar semasa masih sesuai.
UNI-MLC turut menyatakan kesediaan memberikan pandangan dan kerjasama dalam proses kajian itu bagi memastikan dasar gaji negara terus responsif terhadap perubahan ekonomi serta realiti kehidupan pekerja.