Skip to main content

Malaysia

Genap setahun insiden anak diserang, Rafizi dakwa kes 'mati begitu sahaja'

FB Rafizi Ramli
Menurut Rafizi (foto), kejadian yang menimpa keluarganya tidak boleh dipandang ringan kerana kaedah serangan dan ugutan sedemikian berpotensi digunakan terhadap orang awam. -Foto Facebook
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengasas bersama Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa kes serangan terhadap anaknya di Putrajaya pada 13 Ogos tahun lalu disifatkan sebagai "diam dan mati begitu sahaja".

Rafizi membangkitkan perkara itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya sempena ulang tahun pertama kejadian tersebut.

“Hari ini, 13 Ogos, genap setahun berlaku satu peristiwa yang tidak akan dilupakan keluarga saya.

"Setahun telah berlalu, kes diam dan mati begitu sahaja.

“Saya akan tunggu 13 Ogos setiap tahun sehinggalah orang yang menyerang dan dalang di belakang mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Bekas Timbalan Presiden PKR yang juga bekas Menteri Ekonomi itu berkata beliau pernah dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai identiti individu yang disyaki menjadi dalang dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kecewa apabila permintaannya supaya maklumat tersebut didedahkan secara terbuka di Dewan Rakyat tidak dipenuhi atas faktor keselamatan dan siasatan.

Menurut Rafizi, kejadian yang menimpa keluarganya tidak boleh dipandang ringan kerana kaedah serangan dan ugutan sedemikian berpotensi digunakan terhadap orang awam.

“Kalau ia boleh berlaku kepada anak seorang bekas menteri seperti saya di khalayak ramai, kaedah menyerang dan mengugut seperti ini akan digunakan terhadap rakyat biasa,” katanya.

Beliau turut meminta pihak yang sering mengkritik keputusan politiknya supaya membayangkan kesan sekiranya insiden sama menimpa ahli keluarga mereka sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, anak lelaki Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun didakwa ditarik sebelum dicucuk dengan jarum suntikan oleh seorang daripada dua lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar penuh di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Polis memaklumkan seramai 19 individu sudah dirakam keterangan, manakala nombor telefon digunakan untuk mengugut isteri Rafizi didaftarkan atas nama seorang warga asing.

Bagaimanapun, identiti penyerang masih belum dikenal pasti kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari lokasi kejadian dilaporkan tidak jelas.

Pada Januari lalu, Saifuddin Nasution berkata maklumat tertentu tidak boleh didedahkan kerana dikhuatiri mengganggu usaha mengesan suspek serta menjejaskan keselamatan saksi penting.

 

Must Watch Video

Advertisement