Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan, sukar untuk beliau mempercayai apa yang diumumkan itu berdasarkan rekod Israel yang sering mengingkari undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam hantaran terbaharu di akaun media sosialnya pada Sabtu, Dr Mahathir berkata, beliau pesimis terhadap perjanjian tersebut kerana Israel selama ini menunjukkan sikap tidak menghormati pendapat dunia serta gagal mematuhi perjanjian-perjanjian gencatan senjata terdahulu, termasuk dengan Hezbollah.
“Adakah sesiapa percaya bahawa sebuah negara yang melanggar banyak resolusi PBB dan tidak menghormati pendapat dunia akan menepati janji mereka kali ini?” soal Dr Mahathir.
Negarawan itu turut menegaskan, Israel ialah sebuah negara yang suka berkonfrontasi dan sikap sedemikian menjadikannya sukar untuk menghormati mana-mana perjanjian atau undang-undang.
“Sebelum gencatan senjata, mereka meningkatkan serangan dengan membunuh seramai mungkin rakyat Palestin. Ia sudah menjadi tabiat mereka untuk terus melakukan pembunuhan secara berleluasa,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Dr Mahathir menzahirkan kebimbangan kegembiraan yang ditunjukkan oleh rakyat Gaza terhadap perjanjian ini adalah terlalu awal.
“Maafkan saya jika bersikap pesimis. Tetapi kegembiraan rakyat Gaza adalah pramatang. Saya berharap saya salah,” kata Dr Mahathir.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas baru-baru ini dijangka membuka laluan kepada penghentian konflik selama 15 bulan di Gaza, namun skeptisisme terhadap komitmen Israel masih tinggi dalam kalangan pemerhati antarabangsa.
Pada Sabtu, Kabinet Israel meluluskan perjanjian dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas untuk melaksanakan gencatan senjata serta pembebasan tahanan di Semenanjung Gaza.
Perkara ini diumumkan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Sabtu, sehari sebelum perjanjian tersebut dijadualkan bermula pada Ahad.