KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan pihak universiti melepaskan serta-merta sebarang tindakan tatatertib terhadap mahasiswa yang dikenakan tindakan semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau kritikan kepada pimpinan negara mulai Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian berkenaan bagi memastikan kampus universiti kembali berfungsi sebagai gelanggang pemikiran segar dan wacana kritis.
"Kalau ada mahasiswa yang diberikan beberapa pertindakan disiplin, semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk terhadap Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka harus dilepaskan sepenuhnya. Kalau kes polis itu biar isu polis yang harus ditangani.
"Sama ada kita setuju atau tidak, itu soalan lain. Kita boleh berbahas dan kita boleh tuntut anak-anak mahasiswa itu pertahankan hujah mereka. Tapi mesti dijadikan gelanggang universiti ini sebagai medan untuk pemikiran kritis dan pemikiran segar," kata beliau.
Bagaimanapun, Anwar memberi peringatan bahawa kebebasan yang diberikan tidak bermaksud penuntut bebas merosakkan kemudahan atau melanggar undang-undang.
Anwar menegaskan bahawa mahasiswa berhak membantah dan memberikan pandangan, namun kebebasan itu tidak membenarkan sebarang tindakan mengganggu ketenteraman atau merosakkan harta benda awam.
Beliau berkata demikian ketika dalam sesi soal jawab sempena Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.
Menjawab soalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Irfan Firdaus yang menuntut pelibatan penuntut dalam merangka akta baharu universiti, Perdana Menteri memberi jaminan persetujuan kerajaan.
"Saya setuju. Ada wakil mahasiswa dalam jawatankuasa," ujar Anwar ringkas semasa sesi soal jawab forum berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjelaskan kementerian memberi kebebasan kepada penuntut untuk menentukan sendiri model kepimpinan kampus sama ada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Kesatuan Pelajar.
"Bermakna apa yang kita nak lakukan ini ialah takde ada model-model apa tapi kita berikan... ruang seluas-luasnya kepada saudara-saudara semua. Yang ni yang mustahak kerana kita tak mahu kata esok nanti bila dibuat satu akta yang baru dia kata masih menggunakan model yang sama, dia tukar saja kepada nama yang baru...
"Yang paling mustahak apakah yang saudara-saudari semua anggap bahawa dia merupakan satu kongkongan kekangan yang perlu kita keluarkan, kita keluarkanlah," kata Zambry.
Langkah berkenaan selari dengan iltizam kerajaan untuk tidak mengulangi format kawalan lapuk yang pernah menyekat gerakan mahasiswa.