KUALA LUMPUR: Produk gummy berbentuk mata yang dipercayai menjadi punca kematian kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Pulau Pinang  dilarang dijual di mana-mana platform termasuk dalam talian dan pasaran domestik.

Kementerian Kesihatan memberitahu, siasatan yang dijalankan mendapati gula-gula tersebut menyalahi keperluan pelabelan yang diperlukan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 (Akta 281).

"Produk ini adalah dilarang penjualannya di semua platform atas talian dan pasaran domestik, serta tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk ini akan dibuat berdasarkan peraturan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Jelas KKM, undang-undang menetapkan konfeksi jeli terkawal dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang atau sama dengan 45 milimeter hendaklah dilabel dengan 'Amaran: Boleh menyebabkan risiko tercekik' dan 'Tidak sesuai bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun'.

Pada masa sama KKM menasihati ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka ketika memilih makanan yang mempunyai risiko tercekik.

"Bahaya tercekik adalah satu risiko yang signifikan, terutama dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

"Risiko ini meningkat apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna atau ditelan secara keseluruhan," tambah kenyataan itu.

Ujarnya, insiden tercekik kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan.