SEMENYIH: Keputusan guru bersara awal adalah pilihan peribadi yang perlu dihormati dan dipertimbangkan dengan teliti, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Menurutnya, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan guru untuk bersara awal termasuk kesihatan dan tanggungjawab keluarga.

“Kita perlu ingat, keputusan untuk bersara awal adalah pilihan peribadi. Jika kita bercakap mengenai pendidikan manusiawi, pentadbiran kita juga perlu bersifat manusiawi dengan mengambil kira keinginan dan keperluan guru.

“Ini terutamanya apabila ia berkaitan dengan isu kesihatan dan tanggungjawab keluarga,” katanya pada sidang media hari pertama pembukaan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kerjaya sebagai guru memerlukan komitmen yang lama iaitu 30 tahun perkhidmatan.

Sehubungan itu, katanya, langkah intervensi yang berkesan penting untuk mengimbangi kesan daripada persaraan awal para guru.

“Perbincangan bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan amat penting bagi memastikan kekosongan ditinggalkan oleh guru yang bersara awal dapat diisi dengan pengambilan guru baharu secara konsisten.

“Ini penting untuk menangani isu kekurangan guru secara berterusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, terdapat dua kategori utama persaraan bagi guru iaitu persaraan wajib dan persaraan pilihan.

“Setiap tahun, seramai 5,000 hingga 6,000 orang guru bersara wajib, manakala bagi persaraan pilihan, jumlahnya berbeza-beza bergantung kepada alasan peribadi mereka.

“Walaupun tiada jumlah tetap, penting untuk kita memahami sebab di sebalik keputusan itu, bagi membolehkan langkah intervensi yang sesuai dilaksanakan,” katanya. 

Sementara itu, diminta mengulas langkah ibu bapa menghantar anak ke pusat tuisyen untuk mengikuti pembelajaran tambahan, Fadhlina menyifatkan ia sebagai satu pilihan peribadi.

Katanya, kurikulum yang disediakan di sekolah adalah mencukupi mengikut piawaian kebangsaan, bagaimanapun, tidak ada masalah jika ibu bapa mahu menghantar anak mengikuti kelas tambahan.

"Sekiranya ibu bapa ingin beri sokongan tambahan, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Mengenai sesi persekolahan pada bulan Ramadan, Fadhlina berkata, setakat ini tiada perubahan jadual seperti yang ditetapkan di dalam garis panduan sedia ada.

“Pelajar akan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa. Semua pihak dinasihatkan merujuk dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan untuk bulan Ramadan,” katanya.