Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tiada keperluan untuk memecahkan portfolio Menteri Agama khusus untuk masyarakat bukan Islam, seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.
- Cadangan Chow Yu Hui dianggap sebagai pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian kerajaan atau Jemaah Menteri.
- Anwar menegaskan bahawa saluran sedia ada seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Perpaduan, dan Jawatankuasa Harmoni sudah memadai untuk mewakili semua kaum dan agama.
Beliau berkata, cadangan yang dikeluar oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini adalah bersifat peribadi, dan tidak mencerminkan pendirian kerajaan.
Anwar berkata, soal pelantikan itu adalah budi bicara Perdana Menteri, dan ia langsung tidak termasuk dalam perkiraan beliau.
“Kenyataan Ahli Parlimen Raub itu suara peribadi, tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan apatah lagi Jemaah Menteri. Soal pelantikan itu kita tahu budi bicara Perdana Menteri, dan itu tidak termasuk dalam perkiraan (saya).
“Ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ada Menteri Perpaduan, ada Jawatankuasa Harmoni yang mewakili semua kaum semua agama … (Jadi) saluran itu memadai,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai makan tengah hari bersama penduduk setempat di Gerai Syam bawah Pokok, dan menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Puchong Perdana di sini, pada Jumaat.
Pada 11 Februari lepas, Chow sewaktu membahaskan Titah Diraja telah mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan mungkin boleh mencontohi amalan beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan yang mempunyai exco untuk portfolio berkenaan.
Bagaimanapun cadangan tersebut mendapat tentangan keras daripada pihak-pihak tertentu, yang melihat ia sebagai membelakangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)