SIBU: Sungai yang suatu ketika dahulu menjadi nadi pembentukan tamadun dan penggerak ekonomi kini berdepan ancaman daripada sikap manusia sendiri.
Ini menjadikan usaha memulihara sumber air itu bukan lagi tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya amanah seluruh masyarakat.
Hakikat itu menjadi antara naratif sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Sibu, yang dipilih kerana kedudukannya di pertemuan Batang Rajang, sungai terpanjang di Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli berkata, pemilihan Sibu mempunyai nilai simbolik kerana sejarah pembangunan bandar itu begitu rapat dengan sungai, khususnya sebagai laluan pengangkutan dan penghubung kegiatan sosioekonomi penduduk.
Bertemakan “Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita”, sambutan tahun ini katanya, mengangkat mesej sungai bukan sekadar landskap alam, tetapi sebahagian daripada kehidupan masyarakat yang perlu dihargai, dilindungi dan dipulihkan secara bersama.
Menurut beliau, usaha memelihara sungai tidak mungkin berjaya jika hanya bergantung kepada agensi kerajaan, memandangkan keluasan kawasan sungai dan lembangannya memerlukan penglibatan aktif komuniti.
“Antara langkah yang dilaksanakan kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ialah menjayakan Dasar Air Negara, Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) serta Program Denai Sungai Kebangsaan.
IRBM menjadi panduan perancangan sumber air dan pembangunan lembangan bagi memastikan bekalan air mencukupi, kualiti air terpelihara, risiko banjir dikurangkan serta alam sekitar terus dipulihara.
Sementara itu, Denai Sungai Kebangsaan menggabungkan usaha penjagaan sungai dengan aktiviti riadah dan kesihatan masyarakat.
Di Sarawak, antara lokasi pelaksanaannya ialah Sungai Pesang dan Sungai Serin di Serian.
Namun, cabaran terbesar masih terletak pada sikap manusia sendiri.
Pembuangan sisa industri, sampah domestik, minyak masak terpakai dan kegiatan pertanian tidak terkawal boleh menjejaskan kualiti air, manakala tanggapan bahawa sungai ialah tempat pelupusan sisa terus mengancam kelestariannya.
Mad Zaidi menegaskan, pendidikan sejak di bangku sekolah penting untuk membentuk generasi yang menghargai sungai dan sanggup memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.
Masyarakat juga diseru mengamalkan budaya 3R, menyertai gotong-royong, menanam pokok dan melaporkan kegiatan pencemaran.
“Mesejnya jelas, sungai tidak akan bersih hanya dengan dasar dan kempen jika sikap masyarakat tidak berubah.
“ Menjaga sungai bermula daripada tindakan kecil setiap individu, sebelum pencemaran yang boleh dicegah menjadi kerosakan yang sukar dipulihkan,” katanya.
Mengakui usaha memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menjaga sungai cukup mencabar, Mad Zaidi optimis kempen perlu dimulakan di bangku sekolah supaya mereka sedar kepentingan sungai.
“Apabila mereka sedar, barulah mereka menjaga sungai itu kerana atas kepentingan-kepentingan tadi. Dan kita juga mengharapkan supaya mereka ini menjadi mata dan telinga untuk memantau, memelihara sungai kita dan juga memulihara kan sungai kita ke tahap satu ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya lagi.