Skip to main content

Malaysia

Hari Kebangsaan, Hari Sabah mampu jadi titik penyatuan rakyat - Hajiji

Hajiji Noor
Hajiji berkata dua sambutan penting yang diraikan bersama pada 31 Ogos itu perlu dihayati secara mendalam bagi memupuk semangat patriotik serta menghargai pengorbanan pejuang tanah air yang menuntut kemerdekaan. - Gambar fail
Advertisement

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang kaum dan agama, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata dua sambutan penting yang diraikan bersama pada 31 Ogos itu perlu dihayati secara mendalam bagi memupuk semangat patriotik serta menghargai pengorbanan pejuang tanah air yang menuntut kemerdekaan.

Hajiji berkata sehubungan dengan itu, rakyat terutama generasi muda diseru agar terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan dan menjaga keharmonian negeri ini.

“Perpaduan kaum adalah kunci kekuatan kita yang perlu terus dipertahankan terutama dalam era kemodenan masa kini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini. 

Hajiji berkata tema Hari Kebangsaan 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni di samping memastikan nikmat kemakmuran negara dikongsi secara adil oleh seluruh rakyat.

Beliau berkata Hari Sabah yang bertemakan “Sabah Tanah Airku” pula mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat kepada negeri ini.

Ketua Menteri turut menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini agar mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah di rumah, pejabat, kenderaan mahupun premis perniagaan masing-masing sebagai usaha memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.

“Marilah kita terus bersatu menolak anasir yang cuba memecahbelahkan keharmonian rakyat di negeri ini. Semoga sambutan ini menjadi wadah untuk kita terus memperkukuh jati diri, memperkukuh perpaduan dan keharmonian demi kemajuan negeri ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi laluan Serusup-Pinturu sejauh 20.8 kilometer berjalan lancar, manakala jambatan sepanjang 682 meter yang merentasi Sungai Sulaman pula dijangka siap Disember tahun depan.

Beliau berkata projek Lebuhraya Pan Borneo Serusup-Pinturu bernilai RM465 juta itu dijangka siap pada Julai 2028. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement