SEMENYIH: Suasana hari pertama sesi persekolahan tahun 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi, di sini, hari ini meriah dengan kehadiran ratusan ibu bapa dan penjaga yang mengiringi anak-anak mereka.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, seawal 6.45 pagi, maskot Bank Simpanan Nasional (BSN) muncul bagi menceriakan suasana terutamanya bagi anak-anak yang menjejakkan kaki ke sekolah buat kali pertama.

Lebih istimewa, reaksi ibu bapa murid Tahun Satu turut menarik perhatian ramai apabila ramai yang kelihatan sebak dan teruja melihat anak tersayang memasuki alam persekolahan.

Sementara itu, cuaca cerah di lokasi memudahkan para pelajar berjalan kaki masuk ke perkarangan tempat perhimpunan dan bertemu rakan sekolah masing-masing selepas sebulan sekolah bercuti akhir tahun lalu.

Pada pagi ini juga, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut hadir untuk meninjau operasi hari pertama di SK Taman Pelangi.

Seorang ibu yang ditemui, Nur Hakimah Ahmad, mengakui bukan sahaja gembira menghantar anak ke sekolah hari ini tetapi rasa beruntung dapat berjumpa Fadhlina, yang merupakan rakan lamanya di Sekolah Menengah Agama Batu 10, Hulu Langat.

“Terkejut nampak beliau hari ini selepas sekian lama tidak berjumpa. Ini merupakan hari pertama anak saya di sini, Alhamdulillah kemudahan di sekolah ini di tahap paling baik.

"Pelajar masih belum ramai dan saya percaya, tumpuan guru terhadap anak-anak pasti lebih baik,” katanya.

Seorang lagi ibu, Farhana Wahid memberitahu, dia bersyukur permohonannya diterima untuk menempatkan anak Tahun Satu di sekolah yang baharu dibuka ini.

“Sekolah baharu, semangat anak-anak di sini juga baharu. Saya gembira tengok anak-anak dalam kelas semua. Tiada yang menangis, tetapi kami ibu bapa yang sebak,” katanya.

Tahun ini, SK Taman Pelangi menerima 1,500 murid bermula dari prasekolah sehingga Tahun Enam.

Seramai 4,925,075 murid memulakan sesi persekohan baharu bagi kalendar akademik sesi 2025/2026 bermula semalam dan hari ini di seluruh negara.

Jumlah itu melibatkan seramai 2.83 juta murid sekolah rendah dan 2.09 juta murid sekolah menengah, merangkumi keseluruhan sekitar 2.5 juta murid lelaki dan 2.4 juta murid perempuan, yang akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di 10,233 sekolah.