Skip to main content

Malaysia

Harimau Malaya dari NWRC dilepaskan ke habitat asal bulan depan

SUNGKAI, 21 Ogos -- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup melihat proses merawat harimau belang ketika mengadakan lawatan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Arthur melihat proses merawat harimau belang ketika mengadakan lawatan ke NWRC hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SUNGKAI: Buat julung kalinya, seekor Harimau Malaya betina akan dilepaskan ke habitat asal dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di sini awal bulan depan.  

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata harimau yang diberi nama “Yong Choh” itu dikesan mempunyai tahap kesihatan serta sifat agresif yang mencukupi untuk berdikari selepas ditangkap di Sungai Choh, Ulu Kinta bulan lepas.

“Kami merancang mungkin pada awal bulan September, kami akan melepaskan haiwan ini (Yong Choh) ke habitat asalnya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Program Lawatan Turun Padang YB Menteri ke NWRC di sini hari ini.

Pada 22 Julai lepas, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor harimau belang betina selepas haiwan pemangsa itu memasuki perangkap yang dipasang berhampiran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh di sini.

Dalam pada itu, Arthur berkata menerusi Program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan (MyBIT) yang bermula pada 2023, sebanyak 13 ekor anak harimau berjaya dilahirkan dengan sembilan daripadanya terus hidup dan membesar di NWRC. 

Beliau berkata program MyBIT merekodkan kejayaan signifikan pada 2026 apabila lima anak harimau dilahirkan setakat 28 Julai menerusi pasangan induk “Mek Santong” dan “Yeop Kuang”, satu pencapaian reproduktif luar biasa kerana berjaya menghasilkan kelahiran sebanyak dua kali dalam tahun yang sama, iaitu pada Januari dan Julai lepas.  

“Mereka (anak-anak harimau berkenaan) masih dalam pemantauan, diberikan makan dan dijaga secara rapi, yang penting kami perlu memastikan mereka cukup sihat. 

“Selepas itu, kami akan menilai keadaan mereka tetapi kami biasanya akan tunggu beberapa tahun untuk melihat sekiranya mereka boleh dibiasakan ke kawasan habitat sebelum kami pertimbangkan untuk itu (dilepaskan ke habitat asal),” katanya.

Beliau berkata keutamaan adalah untuk memelihara dan memastikan keselamatan haiwan berkenaan, khususnya spesies yang kini sudah terancam sebelum dirancang untuk dilepaskan ke habitat asal mereka.

Menurut Arthur, secara keseluruhan MyBIT merekodkan empat siri kelahiran daripada tiga pasangan induk, iaitu “Cindai” dan “Bobby” (seekor pada 12 April 2025), “Mek Santong” dan “Yeop Kuang” (tiga pada 2 Jan 2026 dan lima pada 28 Julai 2026) serta “Queen” dan “Awe Jeli” (empat pada 7 Mac 2026).  

Arthur berkata program MyBIT turut berperanan menambah populasi, mengekalkan kepelbagaian genetik, menyediakan sumber individu bagi strategi konservasi serta memperkukuh kepakaran tempatan dalam pengurusan pembiakan harimau dalam kurungan.  

“Sekiranya ada keperluan, kami akui ini antara pusat menyelamat yang terdapat di Semenanjung dan kami masih ada banyak ruang. Setakat ini, kami hanya menggunakan sekitar 24 ekar tetapi kawasan rizab ini adalah sekitar 3,000 ekar. Jadi, jika ada keperluan untuk meningkatkan lagi kapasiti, kami boleh usahakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement