Skip to main content
Advertisement

Malaysia

HBH: Impak pelaksanaan dinilai selepas satu hingga tiga bulan - KPPA

PUTRAJAYA, 7 Ogos -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bercakap kepada pemberita semasa hadir pada perasmian Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) XXI 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) memerlukan sekurang-kurangnya satu hingga tiga bulan sebelum impaknya dapat dinilai dengan lebih komprehensif, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) memerlukan sekurang-kurangnya satu hingga tiga bulan sebelum impaknya dapat dinilai dengan lebih komprehensif, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata, buat masa ini, kira-kira 15,000 penjawat awam melaksanakan HBH setiap hari.

“Sudah pasti dalam tempoh yang singkat ini kita tidak dapat menilai dengan lebih komprehensif tetapi Insya-Allah mungkin selepas sebulan atau tiga bulan, kita akan dapat melihat impak pelaksanaan HBH,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata demikian kepada pemberita selepas Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-21 (MAPPA XXI) 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ditanya tempoh pelaksanaan HBH, beliau berkata, ia tidak mempunyai tempoh khusus kerana ia norma baharu pekerjaan di Malaysia.

Wan Ahmad Dahlan berkata, negara maju seperti Singapura dan negara-negara Scandinavia telah lama mengamalkan HBH dengan dapatan menunjukkan impak kejayaan serta keberhasilan yang sangat baik.

HBH yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah (BDR) atau lokasi alternatif dikuatkuasakan pada 1 Ogos sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan pelaksanaan HBH sebagai langkah kalis masa hadapan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal utuh dalam mendepani perubahan global dan evolusi cara kerja moden tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan berkata, JPA tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan wujud tekanan terhadap penjawat awam disebabkan pertembungan politik semasa.

“Sebenarnya sehingga hari ini, kita tidak menerima apa-apa aduan daripada penjawat awam yang dikatakan menerima tekanan daripada ahli politik.

“Insya-Allah saya percaya penjawat awam faham tentang peraturan terhadap mereka apabila telah dilantik sebagai penjawat awam,” katanya.

Terdahulu, larian itu menghimpunkan lebih 13,000 peserta dan pengunjung yang menunjukkan sambutan luar biasa terhadap usaha kerajaan membudayakan gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan dan memperkasakan semangat reformasi perkhidmatan awam.

Program itu buat kali pertama memperkenalkan acara larian 21 kilometer selain pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM100,000 termasuk kereta dan pakej percutian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement