Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Hotel bajet di Seremban jadi sarang pelacuran, 57 dicekup Imigresen

[TB]_Operasi JIM, pelacuran_FB JIM
Operasi dijalankan susulan maklumat awal daripada pihak KBRI berhubung penglibatan warga Indonesia dalam kegiatan tidak bermoral serta hasil risikan yang dilakukan pihak penguat kuasa. - Gambar/ JIM
Advertisement

SEREMBAN: Seramai 57 individu termasuk warga tempatan dan asing ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarkan tiga hotel bajet yang dijadikan pusat aktiviti pelacuran di Seremban, pada Sabtu.

Operasi yang bermula kira-kira jam 2 petang itu dilaksanakan oleh pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), operasi dijalankan susulan maklumat awal daripada pihak KBRI berhubung penglibatan warga Indonesia dalam kegiatan tidak bermoral serta hasil risikan yang dilakukan pihak penguat kuasa.

"Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa menahan tujuh lelaki warga tempatan, tiga lelaki warga Indonesia, 12 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga Myanmar.

"Turut ditahan ialah 26 wanita warga Indonesia, lima wanita warga Bangladesh dan seorang wanita warga India. Kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 65 tahun.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis turut menemukan dan menyita beberapa pasport milik warga Bangladesh, India dan Indonesia, selain telefon bimbit, kunci premis serta kondom," menurut kenyataan JIM.

Siasatan awal mendapati sindiket menjalankan kegiatan itu dengan menempatkan wanita warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian, mingguan atau bulanan.

"Premis berkenaan dipercayai dikendalikan oleh warga tempatan bersama beberapa warga asing yang bertindak sebagai 'kapten' atau pengurus premis bagi menyusun dan mengawal operasi.

"Wanita warga asing terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan tempatan dan warga asing dengan kadar bayaran serendah RM50 bagi setiap perkhidmatan," kata kenyataan itu.

JIM percaya sindiket itu telah beroperasi selama kira-kira setahun serta mempunyai struktur pengurusan yang tersusun bagi memastikan kegiatan mereka berjalan tanpa dikesan.

Selain itu, sindiket berkenaan dianggarkan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun.

Tujuh warga tempatan berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke pejabat imigresen bagi tujuan siasatan lanjut.

 

 

Must Watch Video

Advertisement