KUALA LUMPUR: Bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Kedutaan Cuba di Malaysia menegaskan keakraban persahabatan serta saling menghormati yang menjadi asas kepada hubungan kedua-dua negara sejak ia terjalin pada 6 Feb 1975.

Dalam hantaran terkini di Facebook, Kedutaan Cuba di Malaysia menyoroti pencapaian utama dalam kerjasama dua hala, sekali gus meraikan lima dekad hubungan erat dan komitmen bersama.

"Pada ulang tahun ke-50 ini, kami mengenang detik penting dalam hubungan antara Cuba dan Malaysia yang berdasarkan rasa hormat dan persahabatan," menurut kenyataan kedutaan itu.

Cuba membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1997, manakala Malaysia membuka perwakilannya di Havana pada Februari 2001.

Pada masa ini, rakyat kedua-dua negara yang memiliki pasport sah dikecualikan daripada keperluan visa atau kad pelancong bagi tempoh lawatan sehingga 90 hari di negara masing-masing, berdasarkan Perjanjian Keperluan Visa Separa yang ditandatangani pada 26 Sept 1997 antara Malaysia dan Cuba.

Bekas Presiden Cuba, Fidel Castro mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 2001 dan disambut oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dalam lawatan itu, baginda berkenan menganugerahkan Fidel Castro Darjah Utama Seri Mahkota Negara, menurut kedutaan itu.

Pada tahun sama, selepas kemangkatan baginda Sultan Salahuddin, Cuba mengisytiharkan tempoh berkabung rasmi sebagai tanda penghormatan.

Pada 2003, Castro sekali lagi melawat Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Sementara itu, kedutaan menyatakan lebih 20 pelajar perubatan Malaysia telah menamatkan pengajian di Cuba melalui biasiswa penuh yang ditawarkan oleh Kerajaan Cuba bagi melahirkan sekumpulan doktor.

-- BERNAMA