Ringkasan AI
- Beberapa kawasan di UiTM Kampus Puncak Alam, Selangor, dilanda banjir kilat akibat hujan lebat yang menjejaskan pergerakan kenderaan.
- Pengguna media sosial berkongsi video situasi banjir di sekitar kampus, termasuk kawasan menunggu bas dan berhampiran Fakulti Alam Bina.
- Pasukan bomba dari Balai Bestari Jaya sedang menuju ke lokasi, dengan perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa.
SHAH ALAM: Beberapa kawasan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat menyebabkan beberapa lokasi dinaiki air dan menjejaskan pergerakan kenderaan.
Keadaan itu dikongsikan beberapa pengguna media sosial menerusi aplikasi Threads yang memaparkan situasi banjir di sekitar kampus berkenaan.
Seorang pengguna nis0piee berkongsi beberapa video yang menunjukkan kawasan menunggu bas di kampus itu dinaiki air, selain mendakwa kejadian berkenaan merupakan pengalaman pertamanya berdepan situasi sedemikian.
Seorang lagi pengguna, afiqqqdaniel memuat naik video yang memaparkan aliran air deras yang keruh memenuhi permukaan jalan di kawasan yang dipercayai dalam kampus berkenaan.
Sementara itu, nabiq65 turut berkongsi dua video yang memaparkan keadaan banjir kilat di kawasan yang dipercayai berhampiran Fakulti Alam Bina, UiTM Kampus Puncak Alam.
Dalam perkembangan berkaitan, satu video yang dikongsikan Zamron Mat menerusi Facebook memaparkan seorang individu memaklumkan bahawa Taman Sri Alam, Saujana Utama di Sungai Buloh turut dinaiki air sehingga melimpah ke jalan raya.
Individu berkenaan turut mengingatkan penduduk supaya mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih selamat serta mengutamakan keselamatan diri.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar memaklumkan bahawa pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian, dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.
-- BERNAMA