Ringkasan AI
- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.
- KBS menegaskan permohonan penganjuran acara tersebut masih dalam proses, belum diluluskan, dan kementerian tidak menyalurkan sebarang dana kepada penganjur.
- Penganjur diwajibkan mematuhi Kod Sukan Selamat dan Akta Pembangunan Sukan 1997, dengan hukuman denda atau penjara jika gagal mematuhi peraturan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol yang dikaitkan dengan acara itu tidak ditarik balik sepenuhnya.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, permohonan penganjuran acara berkenaan yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan KBS.
Beliau menjelaskan, kementerian juga tidak menyalurkan sebarang dana kepada penganjuran acara berkenaan.
Menurutnya, pendirian itu selaras dengan Kod Sukan Selamat yang melarang syarikat berkaitan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau meletakkan cap dagangan dalam acara sukan yang diluluskan atau disokong KBS.
Sehubungan itu, penganjur perlu menarik balik sepenuhnya tajaan berkenaan termasuk mengeluarkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan.
Dalam pada itu, KBS mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 menetapkan syarikat perlu mendapatkan lesen daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebelum terlibat dalam aktiviti sukan.
Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
KBS menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, demi memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta.