KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memainkan peranan lebih besar dalam memantau kebajikan, pendidikan dan pergaulan anak-anak, termasuk mengelakkan mereka daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tanggungjawab membentuk sahsiah serta masa depan anak-anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau pihak sekolah, sebaliknya perlu bermula dari institusi keluarga.
Menurut beliau, ibu bapa perlu cakna perkembangan pendidikan anak-anak, termasuk memastikan mereka mengulang kaji pelajaran, menyiapkan tugasan sekolah serta mengetahui aktiviti harian mereka.
“Jadi boleh tak kita kadang-kadang juga buat seruan ini? Selain daripada saya dengar saban hari seruan untuk kerajaan lakukan, saya mahu ambil kesempatan ingin seru supaya ibu bapa ambil tanggungjawab.
“Tengok anak-anak ni semua bersih, tunjuk kasih sayang dan baik. Saya menyentuh perasaan saya tetapi saya bimbang tentang kebaikan mereka, masa depan mereka.
“Kalau ibu bapa itu hanya menyerah begitu saja, bulat-bulat dalam keadaan dan suasana tanpa mengawal dan mendidik mereka,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa keluarga perlu menjadi asas dalam membentuk peribadi anak-anak, selain memastikan mereka mendapat perhatian, kasih sayang dan didikan sewajarnya.
“Tadi dalam mesyuarat Jemaah Menteri kita bincang banyak soal kadang-kadang masalah penyakit mental, masalah autisme yang terpaksa kita cari jalan tangani.
“Tapi kerjasama daripada ibu bapa dan keluarga ini sangat penting,” katanya.
Beliau berkata kerjasama ibu bapa dan keluarga amat penting dalam menangani pelbagai cabaran membabitkan generasi muda, termasuk isu penyalahgunaan dadah.