PETALING JAYA: Perbicaraan hari pertama kes mengabai Zayn Rayyan Abdul Matin menyaksikan ibu bapa kanak-kanak autistik itu menangis di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, selepas seorang jurugambar mengemukakan 94 gambar bedah siasat kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Ismanira Abdul Manaf sempat menenangkan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari di kandang tertuduh.

Bagaimanapun, mereka gagal menahan perasaan, sejurus jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Detektif Koperal Mohamad Hirwan Arifin, 45, menunjukkan keseluruhan 142 gambar yang diambil, dua hari selepas Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia.

Ia membabitkan gambar muka, kaki, telinga dan kecederaan di lengan anak sulung pasangan suami isteri itu, termasuk gambar di stor, Blok R Apartmen Idaman, stor barangan, pintu luar dalam rumah mangsa dan lokasi tangga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan prosiding dihentikan selama beberapa minit, selepas kedua-dua tertuduh memaklumkan mahu ke tandas.

Ketika pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian bertanya mengenai maklumat lengkap gambar-gambar tersebut.

Pendakwaan: Apakah arahan yang kamu terima pada 7 Disember 2023?

Mohamad Hirwan: Saya diarahkan untuk mengambil gambar di lokasi jenayah, bedah siasat Zayn Rayyan di Hospital Sungai Buloh.

Pendakwaan: Gambar kelima dan enam?

Mohamad Hirwan: Itu gambar mangsa bernama Zayn Rayyan.

Pendakwaan: Bagaimana pula dengan gambar ke-19?

Mohamad Hirwan: Ini merupakan gambar mangsa tanpa baju dan seluar, ketika itu dia memakai lampin pakai buang.

“Saya terima arahan daripada pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Hafizee Ismail untuk mengambil gambar beg mangsa.

“Saya ambil gambar beg yang berwarna biru merah kuning dan putih dengan tertera perkataan S di tengah-tengah beg itu.

“Ada satu beg kecil biru merah dengan gambar kartun bersama botol air berwarna hijau,” kata saksi pertama pendakwaan ini.

Sementara itu, ketika sesi pemeriksaan balas, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan berusia 30 tahun itu mencadangkan, dua anak guamnya telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Mohamad Hirwan: Saya tidak pasti.

Peguam: Adakah kedua-dua tertuduh berada di rumah mereka ketika itu?

Mohamad Hirwan: Saya tak ingat dan tidak pasti.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokkannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Prosiding di hadapan Hakim, Syahliza Warnoh bersambung Selasa. - Sinar Harian