PETALING JAYA: Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham  Zayn Rayyan Abdul Matin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pindaan berhubung kesalahan mengabaikan anak mereka, pada tahun 2023.


Ringkasan AI
  • Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan mengabaikan anak mereka di Mahkamah Sesyen.
  • Pertuduhan pindaan melibatkan penambahan butiran lokasi kejadian dan masa, dengan pasangan tersebut didakwa mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
  • Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali. Setakat ini, 23 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan.


Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang masing-masing berusia 30 tahun itu, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh sebagai tertuduh pertama dan kedua.

Pasangan itu turut mengaku memahami pertuduhan yang telah dipinda dan memilih untuk dibicarakan.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan perkataan 'kawasan Blok R, Apartment Idaman' dan 'kawasan sungai berdekatan'.

Tindakan itu diambil selepas Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin memohon untuk meminda pertuduhan selaras dengan Seksyen 153 dan 173(i) Kanun Tatacara Jenayah yang berkaitan dengan butiran mengenai masa, lokasi dan individu yang terlibat.

“Sebelum perbicaraan bermula, pihak pendakwaan ingin membuat permohonan kepada mahkamah untuk meminda pertuduhan kepada pertuduhan pindaan, satu salinan sudah diserahkan kepada peguam.

“Mohon pertuduhan pindaan ini dibacakan dan diterangkan semula kepada kedua-dua tertuduh selaras dengan peruntukkan Seksyen 158 dan 173 (i) Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan kesalahan itu kesalahan itu dilakukan di sekitar kawasan Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama, Petaling, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga boleh mengarahkan individu yang disabitkan kesalahan untuk menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh yang ditetapkan serta menjalani khidmat masyarakat.

Setakat ini, seramai 23 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula sejak 4 Februari lalu.