Skip to main content

Malaysia

Imaiyam mohon kerajaan pertimbang cuti tanpa rekod Deepavali kepada penjawat awam Hindu pada 10 Nov

Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imaiyam) memohon kerajaan mempertimbangkan cuti tanpa rekod (CTR) untuk penjawat awam Hindu pada 10 November. - Gambar hiasan
Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imaiyam) memohon kerajaan mempertimbangkan cuti tanpa rekod (CTR) untuk penjawat awam Hindu pada 10 November. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imaiyam) memohon kerajaan mempertimbangkan cuti tanpa rekod (CTR) untuk penjawat awam Hindu pada 10 November.
  • Permohonan ini bertujuan memastikan kemudahan CTR Hari Deepavali dapat dinikmati sepenuhnya kerana pertindihan dengan cuti umum dan cuti gantian tahun ini.
  • Imaiyam mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan surat edaran membenarkan CTR dibawa ke hari bekerja berikutnya, seperti dilaksanakan pada 2023.
Advertisement

PUTRAJAYA: Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imaiyam) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti tanpa rekod (CTR) kepada penjawat awam beragama Hindu pada Selasa, 10 Nov susulan pertindihan cuti perayaan Deepavali dengan cuti umum dan cuti gantian.

Pengerusi Imaiyam, Dr Sathiskumar K. Muthusamy berkata permohonan itu bukan bertujuan mendapatkan kemudahan baharu, sebaliknya memastikan kemudahan CTR Hari Deepavali yang diperuntukkan kerajaan sebelum ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh penjawat awam beragama Hindu.

“Deepavali tahun ini jatuh pada Ahad dan Isnin telah diisytiharkan sebagai cuti ganti. Akibatnya, hari yang biasanya digunakan untuk CTR bertindih dengan cuti umum dan kemudahan CTR tidak dapat dinikmati.

Advertisement

“Permohonan kami iaitu CTR berkenaan dibenarkan pada hari Selasa, 10 Nov. Kerajaan pernah membuat keputusan sama pada 2023 dalam keadaan yang serupa. Kami yakin kerajaan akan terus konsisten dengan pendekatan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Dr Sathiskumar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak perlu mewujudkan dasar baharu kerana kemudahan CTR Hari Deepavali sudah tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM).

Advertisement

Sebaliknya, JPA hanya perlu mengeluarkan surat edaran bagi membenarkan CTR berkenaan dibawa ke hari bekerja berikutnya, sebagaimana pendekatan yang pernah dilaksanakan pada 2023.

Beliau berkata Imayam turut menerima pertanyaan dan maklum balas daripada ahli berhubung kekangan masa cuti Deepavali, khususnya dalam kalangan penjawat awam yang bertugas jauh dari kampung halaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Dr Sathiskumar berkata Imayam berpandangan bahawa prinsip keadilan perlu menjadi asas dalam mempertimbangkan kemudahan cuti perayaan bagi semua penjawat awam tanpa mengira agama dan kaum.

"Ini bukan soal memberi kelebihan kepada mana-mana kaum atau agama. Ini soal memastikan kemudahan yang telah diluluskan oleh kerajaan benar-benar dapat dinikmati tanpa mengira kedudukan perayaan dalam kalendar,” katanya.

Mulai 2018, kerajaan memperuntukkan CTR sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya kepada penjawat awam beragama Hindu sebagai cuti umum tambahan bagi membolehkan perayaan itu disambut bersama-sama keluarga.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement