Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Mohd Hasbie Muda berkata beliau telah berbincang dengan Pengarah ICU negeri Abdul Kahar Abdul Latif untuk menyegerakan proses pembinaan rumah baharu di tapak rumah kayu yang didiami lima beranak itu.
"ICU memang ada bantuan sama ada membina rumah baharu atau membaiki rumah yang telah rosak terutama kepada mereka yang berdaftar dengan e-Kasih. Jadi kita telah semak dan keluarga ini merupakan penerima bantuan e-Kasih.
"Cumanya, kita perlu bantu Jani dan isteri (Maznah Abu Bakar, 43) untuk selesaikan masalah nama atas geran tanah yang mereka duduki ini kerana ia atas nama abang kepada Maznah dan perlu ditukar kepada nama Maznah sebelum rumah baharu dibina. Kita akan bantu untuk segerakan proses pembinaan rumah baharu ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berkunjung ke rumah Jani di Kampung Darat, Batu Rakit dekat sini.
Menurut Mohd Hasbie, PH Terengganu juga menghulurkan sumbangan segera bernilai RM10,000 dalam bentuk barangan keperluan seperti kipas dan peti sejuk serta pembaikan segera rumah seperti dinding serta pintu.
Beliau berkata bantuan itu turut meliputi bantuan pemasangan bekalan air kerana Jani sekeluarga bergantung pada bekalan air dari masjid atau jiran berdekatan serta tadahan air hujan.
Kisah Jani, 62, yang cacat kaki kanan sejak lahir tular kerana terpaksa memberi isteri dan tiga anaknya berusia lapan hingga dua tahun makanan yang tamat tempoh akibat kesempitan hidup.
Jani yang hanya menjual barangan terbuang seperti botol, besi buruk dan plastik dengan pendapatan kira-kira RM200 sebulan berkata mereka kini hanya tinggal di sebuah rumah yang dibina menggunakan papan lapis terbuang di atas tanah milik abang kepada Maznah.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin sebelum ini berkata keluarga tersebut akan dijadikan anak angkat AMK Terengganu dengan fokus diberikan kepada aspek pendidikan dua anak Jani yang masih bersekolah iaitu Muhammad Aqil Azhari, 8, dan Muhammad Syahrin Izzudin, 7.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)