KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited untuk memperhebatkan usaha dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik susulan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index, CPI) yang menunjukkan Malaysia kekal di kedudukan ke-57 bagi tahun 2024, dengan skor 50 mata.

Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkata, Pasukan Petugas Khas CPI yang diterajui KSN akan mempertingkat langkah-langkah penambahbaikan yang strategik untuk melonjakkan kedudukan negara dalam CPI.

"Pasukan ini dianggotai oleh pegawai kanan pelbagai kementerian, pakar berkaitan, serta Transparency International Malaysia, dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai urus setia," jelasnya menerusi sebuah kenyataan media pada Selasa.

Selain itu, enam Kumpulan Fokus CPI yang ditubuhkan di bawah Pasukan Petugas Khas itu akan dipertanggungjawab untuk meneliti dengan lebih mendalam dapatan daripada tinjaun yang digunakan dalam penilaian CPI.

Hasil kajian tersebut akan menjadi asas kepada perancangan serta pelaksanaan tindakan yang lebih berkesan dalam memperbaiki kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan akan terus berusaha secara bersepadu untuk meningkatkan persepsi global terhadap kecekapan dan ketelusan sistem tadbir urus negara.

"Keputusan CPI 2024 ini dijadikan titik rujukan (baseline) dalam merealisasikan sasaran Malaysia untuk mencapai kedudukan 25 teratas dunia dalam CPI menjelang tahun 2033," tambahnya.

Menerusi Indeks CPI 2024, tiga buah 'negara bersih dari ancaman rasuah' berjaya menduduki tiga tangga teratas iaitu Denmark, Finland dan Singapura masing-masing dengan skor sebanyak 90 mata, 88 mata dan 84 mata.

CPI menggunakan skala dari 0 (kadar rasuah tertinggi) hingga 100 (kadar rasuah terendah dan bersih).

Malaysia memperoleh 50 mata pada 2023, 47 pada 2022, 48 pada 2021, serta 51 pada 2020.