SHAH ALAM : Indonesia menggesa Malaysia mengambil tindakan terhadap pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekiranya terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan rentetan insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting, pada Jumaat.

Memetik laporan Antara News, Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Christina Aryani berkata, kerajaan Malaysia diminta menyiasat kejadian tembakan membabitkan pegawai Maritim Malaysia dengan lima rakyat berkenaan.

“Malaysia digesa untuk segera menyiasat peristiwa berdarah itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai ronda APMM sekiranya terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan.

“Kami juga sedang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan Malaysia bagi membincangkan langkah pencegahan demi memastikan insiden itu tidak berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Channel News Asia melaporkan Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia di Kementerian Luar Negeri Indonesia, Judha Nugraha berkata, kedutaan Indonesia akan menghantar nota diplomatik untuk menggesa siasatan terhadap kejadian terbabit.

“Kementerian Luar Negeri Indonesia telah berhubung dengan polis dalam memantau insiden ini dan mengesahkan bahawa warganegara Indonesia yang ditembak itu disyaki cuba meninggalkan Malaysia melalui laluan haram.

"Kedutaan Indonesia juga telah meminta akses konsular untuk melihat mayat si mati dan melawat mangsa yang cedera," kata Judha kepada CNA.

Pada 24 Januari, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kejadian tembakan di perairan di Kuala Langat itu menyebabkan seorang terbunuh dan empat yang lain cedera.

Menurut Hussein, identiti mangsa yang meninggal dunia belum dikenal pasti manakala empat individu cedera dipercayai warga Indonesia.

Dalam insiden itu, dua suspek dipercayai warga asing berada di atas bot didakwa cuba menyerang pegawai Maritim Malaysia dengan parang sekitar jam 3 pagi selepas mereka merempuh bot pegawai berkenaan sebanyak empat kali.

Pegawai Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek sebagai tindakan mempertahankan diri namun suspek sempat melarikan diri.

Pada jam 9 pagi hari sama, Maritim Malaysia menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah bot yang hanyut di sepanjang pantai Banting dan mendapati dua lelaki di dalamnya.

Seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan.

Hussein turut mengesahkan polis menerima laporan mengenai tiga lelaki disyaki warga asing turut mengalami kecederaan tembakan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian