BANGI: Industri getah perlu melakukan revolusi melalui penerapan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi ladang bagi menarik penglibatan generasi muda.


Ringkasan AI
  • Industri getah perlu menerapkan teknologi moden seperti AI, automasi, dan inovasi ladang untuk menarik penglibatan generasi muda, memandangkan purata umur pekebun kecil kini adalah 61 tahun.
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menekankan pentingnya strategi yang mampan, progresif, dan inklusif untuk memperkasakan komuniti pekebun kecil, termasuk latihan kemahiran dan pengurusan moden.
  • Tiga kluster utama RISDA yang perlu diperkasakan adalah Kluster Modal Insan, Kluster Ekonomi, dan Kluster Usahawan, dengan fokus pada latihan, peningkatan keupayaan perniagaan, dan program bimbingan untuk pekebun kecil.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri itu berdepan dengan cabaran apabila purata umur pekebun kecil pada ketika ini adalah 61 tahun.

"Penglibatan anak muda menjadi semakin penting dan jika ini tidak dilakukan siapa yang akan meneruskan legasi industri getah dalam 10 atau 20 tahun akan datang?

"Pekebun kecil tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian. Kita memerlukan tindakan drastik, menyeluruh, dan berkesan untuk memperkasakan komuniti ini.

"Kita mesti membangunkan strategi yang mampan, progresif, dan inklusif - bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, tetapi pelan tindakan yang benar-benar memberi impak kepada kelangsungan hidup mereka.

"Kita perlu berani keluar dari cara lama. Sektor getah mesti menjadi lebih menarik kepada generasi muda dengan teknologi moden seperti AI, automasi, dan inovasi ladang.

"Bayangkan ladang getah yang menggunakan teknologi internet kebendaan (IoT), dron untuk meningkatkan produktiviti, dan e-dagang yang menghubungkan pekebun kecil terus ke pasaran global.

"Ini bukan sekadar perubahan, ini adalah revolusi industri getah yang kita semua dambakan," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA 2025, di sini, pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggariskan tiga kluster utama RISDA yang perlu diperkasakan.

"Pertama dalam Kluster Modal Insan. Kita memiliki 2.7 juta komuniti pekebun kecil, yang bukan sekadar pewaris tanah, tetapi pewaris industri.

"Mereka perlu digilap melalui latihan kemahiran, pengurusan moden, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan ekonomi untuk mencipta generasi pekebun kecil yang berwawasan dan berdaya saing.

"Kedua Kluster Ekonomi, di mana RISDA Holdings telah mencatat keuntungan RM70 juta tahun lalu, tetapi saya mahu kita melipatgandakan keupayaan perniagaan syarikat, mencari peluang baharu, dan menembusi pasaran yang lebih luas.

"Ketiga usaha melahirkan lebih ramai usahawan pekebun kecil dalam Kluster Usahawan terus diperkukuh.

"Saya mahu RISDA memperhebat program bimbingan dan memperluas akses pembiayaan bagi memastikan mereka lebih berdaya saing," katanya lagi.