KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperkasakan sektor peniaga kecil melalui inisiatif Lestari Niaga yang bukan sahaja mencantikkan kawasan perniagaan, tetapi juga menyelesaikan isu peniaga tanpa lesen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha menambah, langkah ini bertujuan mempermudah urusan mendapatkan lesen perniagaan sekali gus memberi peluang pendapatan tambahan kepada pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

“Peniaga kecil yang berniaga tanpa lesen tidak harus dipinggirkan kerana minat mereka untuk berniaga ada. Jadi, kami mempermudah proses dengan menyediakan lesen, yang bukan sahaja membantu peniaga tetapi juga memberikan sedikit pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan, katanya dalam Program Agenda Awani pada Isnin.

Dr Zaliha turut menekankan kepentingan memastikan keselamatan, kebersihan, dan keselesaan di kawasan perniagaan, terutamanya bagi peniaga jalanan. 

“Kita tidak mahu peniaga dan orang ramai terpaksa berkompromi dengan keselamatan dan kebersihan. Oleh itu, kami menyediakan lokasi yang sesuai untuk peniaga kecil berniaga serta membaiki tempat sedia ada untuk mencantikkan kawasan tersebut. Usaha ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada semua tetapi juga berpotensi dijadikan tarikan pelancong,” tambahnya. 


Naratif baharu ubah stigma

Beliau juga mengakui masih lagi berhadapan dengan cabaran untuk mengubah stigma masyarakat terutamanya apabila pihak berkuasa melakukan serbuan terhadap peniaga kecil.

Namun, beliau yakin bahawa ini boleh diubah melalui naratif dan usaha bersepadu pihak berkuasa.

“Yang penting ialah naratif dan keazaman pihak berkuasa untuk mengubah persepsi ini. Namun, penglibatan dengan peniaga juga sangat penting. Jika kita tidak menjelaskan kenapa langkah-langkah tertentu diambil, mereka pasti akan mempersoalkan hak mereka untuk berniaga,” katanya. 

Dr Zaliha menjelaskan bahawa pertemuan dan perbincangan antara pihak berkuasa dan peniaga perlu dilakukan agar kedua-dua pihak mencapai persefahaman. 

“Apabila pendapat kedua-dua pihak seimbang, barulah usaha-usaha yang diutarakan oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya. 

Inisiatif Lestari Niaga dilihat sebagai langkah holistik yang bukan sahaja menyelesaikan isu peniaga tanpa lesen, tetapi juga meningkatkan kualiti kawasan perniagaan, memajukan ekonomi peniaga kecil, dan memperkukuhkan daya tarikan pelancongan tempatan.


Agenda AWANI: Wilayah Persekutuan kita