Skip to main content

Malaysia

Inkues Zara Qairina: Empat jurnal diperiksa tidak lengkap - Saintis forensik

41760519181_LBINKUESZARA.jpg
Pemeriksaan dilakukan bagi mengenal pasti sebarang ketidakaturan fizikal dan struktur termasuk saiz serta keadaan kertas, corak koyakan selain masalah pada penjilidan atau jahitan. -Gambar fail
Advertisement

KOTA KINABALU: Empat jurnal yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir didapati tidak lengkap ketika diperiksa, termasuk jurnal 'Love and Peace' yang hanya mempunyai 54 daripada 118 helaian asal.

Saksi inkues yang ke-77, Pensyarah dan Penyelidik Sains Forensik, Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa berkata, kesimpulan itu dibuat hasil pemeriksaan fizikal dan pembinaan semula terhadap empat jurnal berlabel W1, W2, W3 dan WK9.

Menurut saintis forensik itu, pemeriksaan dilakukan bagi mengenal pasti sebarang ketidakaturan fizikal dan struktur termasuk saiz serta keadaan kertas, corak koyakan selain masalah pada penjilidan atau jahitan.

"Saya turut membandingkan halaman koyak Y1 hingga Y15 antara satu sama lain dan dengan jurnal-jurnal berkenaan bagi menentukan susunan serta orientasi halaman, selain mengenal pasti sama ada halaman berkenaan berasal daripada salah satu jurnal tersebut atau sumber lain.

"Untuk tujuan itu, saya membandingkan setiap bahan yang dipersoalkan, iaitu W1, W2, W3 dan WK9, dengan jurnal baharu yang belum digunakan daripada jenis sama bagi memahami keadaan asalnya," katanya dalam pernyataan saksi di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan menggunakan sudut pencahayaan berbeza bagi mengesan kesan tekanan yang ditinggalkan oleh tulisan pada halaman sebelumnya.

"Saya membandingkan secara fizikal bahagian tepi koyakan Y1 hingga Y15 antara satu sama lain dan dengan jurnal bagi menentukan sama ada ia sepadan dan sejajar, selain melabel setiap halaman koyak pada bahagian hadapan sebagai (a) dan belakang sebagai (b) bagi memastikan pengesanan yang konsisten, contohnya Y1a/Y1b.

"W1 ialah jurnal hijau 'NOTES' yang hampir sama dengan jurnal rujukan baharu. Kulit hadapan dan belakang, bahagian pengikat atas dan bawah serta penanda buku reben semuanya berada dalam keadaan utuh.

"Berbanding jurnal rujukan baharu yang mempunyai 98 helai, W1 mengandungi 97 helai, bermakna satu helai hilang atau telah dikoyakkan," katanya.

Bagi W2 iaitu jurnal ungu 'Simple Style Book', Dr Wan Nur Syuhaila berkata, jurnal berkenaan hanya mengandungi 53 helai berbanding 96 helai bagi jurnal rujukan baharu.

"W2 hanya mengandungi 53 helai, bermakna 43 helai hilang.

"Saya menemui kesan tekanan tulisan pada halaman 51, 53, 67 dan 100. Saya juga mendapati dua halaman koyak berasingan, Y8a dan Y8b, tidak konsisten apabila dibandingkan dengan W2, menunjukkan ia berkemungkinan berasal daripada sumber atau jurnal lain," katanya.

Bagi W3 iaitu jurnal coklat gelap 'DIAMOND', beliau berkata, jurnal itu mempunyai 77 daripada 98 helai asal, sekali gus menunjukkan 21 helai tidak lagi terdapat di dalamnya.

"Kesan halaman yang dikoyakkan turut dikenal pasti antara halaman berlabel 16–17, 42–43 dan 46–47," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Nur Syuhaila berkata, WK9 iaitu jurnal hijau zaitun 'Love and Peace' diterima dalam keadaan usang dan koyak.

"Kertas hujung bebas bahagian hadapan asal sudah tiada, manakala kertas yang dilekatkan pada bahagian dalam kulit hadapan telah dikoyakkan. Satu halaman berasingan kemudiannya dilekatkan semula pada kulit hadapan.

"Saya melihat apa yang kelihatan seperti kesan tekanan tulisan pada halaman yang dilekatkan semula itu. Bagaimanapun, kesan berkenaan tidak dapat diekstrak menggunakan ESDA disebabkan ketebalan bahagian tersebut kerana ia melekat pada kulit jurnal.

"Berbanding jurnal rujukan baharu yang mempunyai 118 helai, WK9 hanya mengandungi 54 helai, bermakna 64 helai hilang. Saya turut menemui kesan tekanan tulisan pada halaman 1, 4, 7, 17, 37, 50, 51 dan 53," katanya.

Dalam pemeriksaan terhadap 15 helaian koyak berlabel Y1 hingga Y15 pula, beliau berkata, sebahagian besarnya dapat dikelompokkan kepada dua kumpulan berdasarkan padanan fizikal bahagian koyakan.

Katanya, Kumpulan 1 terdiri daripada Y1 hingga Y9, manakala Kumpulan 2 melibatkan Y12 hingga Y15, sementara Y10 dan Y11 tidak dapat dipadankan secara fizikal dengan mana-mana kumpulan.

"Bagaimanapun, satu kesan tekanan tulisan pada bahagian belakang halaman Y11, iaitu Y11(b), sepadan dengan sebahagian catatan yang ditemukan pada Y12, sekali gus menunjukkan Y11 berada sebelum Y12 dalam susunan halaman.

"Pemerhatian berdasarkan tarikh yang ditulis pada halaman menunjukkan bahawa halaman-halaman berkenaan secara umumnya kelihatan mengikut susunan kronologi, dengan Kumpulan 1 mendahului Kumpulan 2," katanya.

Dr Wan Nur Syuhaila turut menjalankan analisis menggunakan Electrostatic Detection Apparatus (ESDA), iaitu peralatan forensik yang digunakan untuk mengesan kesan tekanan tulisan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Menurutnya, bagi jurnal W2, kesan tekanan tulisan berjaya dikesan pada halaman 51, 53, 67 dan 100, namun tiada halaman dalam jurnal berkenaan yang sepadan dengan kesan tersebut.

"Ini menunjukkan bahawa halaman yang dahulunya mengandungi kandungan tersebut sudah tidak terdapat dalam jurnal berkenaan," katanya.

Dapatan sama diperoleh pada WK9 apabila kesan tekanan tulisan ditemukan pada halaman 1, 4, 7, 17, 37, 50, 51 dan 53, namun tiada halaman dalam jurnal itu yang sepadan dengan kesan berkenaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pemeriksaannya hanya melibatkan keadaan fizikal dokumen dan kesan tekanan tulisan yang diperoleh serta tidak menentukan sebab sesuatu catatan ditulis, bila ia ditulis atau maksud kandungannya.

"Saya juga tidak membandingkan sendiri tulisan tangan yang diperoleh dengan tulisan tangan mana-mana individu untuk menentukan siapa penulisnya. Analisis tulisan tangan dilakukan oleh Dr Tay Eue Kam menggunakan bahan yang saya peroleh," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement