KOTA KINABALU: Pegawai polis yang menyiasat kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa seramai 200 individu telah dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan laporan mati mengejut melibatkan remaja itu.
Inspektor Wong Yew Zhung, saksi ke-83 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina berkata, rakaman percakapan tersebut dilakukan dengan bantuan pegawai polis dari Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Papar, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Sipitang.
Menurutnya, saksi yang dipanggil terdiri daripada ahli keluarga Zara, jiran-jiran, rakan-rakan sekolah rendah dan menengah, guru-guru, pegawai perubatan, pegawai polis serta pelajar-pelajar asrama blok Rabiatul Adawiyah.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan mereka yang mengenali Zara, remaja itu digambarkan sebagai seorang yang ceria, aktif, peramah, banyak bercakap serta mudah berkawan, selain mempunyai cita-cita untuk menjadi ahli Badar.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada saksi yang melihat sendiri kejadian yang menyebabkan Zara ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah berkenaan.
"Tidak ada pihak termasuk pengawal keselamatan atau warden asrama yang membuat rondaan di aras tiga blok Rabiatul Adawiyah pada malam kejadian.
"Hasil pemeriksaan saya turut mendapati tiada kamera litar tertutup dipasang di kawasan asrama yang dapat memberikan rakaman berhubung kejadian tersebut," katanya ketika membacakan keterangan bertulis hari ini.
Dalam keterangannya, Yew Zhung turut memaklumkan bahawa beliau telah menjelaskan kepada ibu Zara, Noraidah Lamat, bahawa bedah siasat perlu dijalankan bagi membantu siasatan kematian anaknya selepas remaja itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada jam 1.07 tengah hari, 17 Julai 2025.
Beliau berkata, pada jam 1.35 tengah hari hari yang sama, beliau menerima panggilan daripada doktor HQE yang memaklumkan kematian Zara, dengan sebab kematian dinyatakan sebagai severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy.
Menurutnya, sebaik tiba di wad bersama jurugambar polis, beliau berjumpa doktor berkenaan dan Noraidah sebelum memaklumkan mengenai keperluan bedah siasat.
"Semasa berada di wad tersebut, saya telah memaklumkan dan menjelaskan kepada ibu Zara bahawa bedah siasat akan dijalankan ke atas Zara untuk membantu siasatan kematian Zara.
"Bagaimanapun, ibu Zara menjawab 'tidak mahu' dan enggan untuk bedah siasat dijalankan ke atas Zara. Saya menjelaskan sekali lagi berkenaan bedah siasat, namun ibu Zara tetap berkeras menjawab 'tidak mahu. Saya mahu kebumikan dia dengan segera'," katanya.
Beliau berkata, beberapa gambar turut diambil oleh jurugambar polis semasa perjumpaan dan lawatan ke wad bagi tujuan rekod serta dokumentasi.
Menurut Wong, disebabkan ibu Zara enggan memberikan kebenaran untuk bedah siasat dan punca kematian ketika itu telah dikenal pasti, borang POL 61 iaitu dokumen permohonan bedah siasat oleh polis tidak dikeluarkan.
Katanya, pada tarikh sama, Noraidah turut menandatangani Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat atas Kemahuan Sendiri yang memperakui beliau tidak mahu bedah siasat dijalankan, tidak mensyaki sebarang unsur jenayah dalam kematian anaknya serta tidak akan menuntut laporan bedah siasat bagi tujuan medico-legal, insurans atau tuntutan lain.
Selain itu, katanya, turut ditandatangani ialah Borang Notifikasi Kematian dan Pengendalian Jenazah serta Surat Akuan Pengesahan Pengurusan Perkhidmatan Jenazah sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.
Yew Zhung berkata, selepas itu beliau kembali ke pejabat untuk mengemaskini kes sebelum menerima arahan untuk mengklasifikasikan kematian Zara sebagai kes mati mengejut dan dilantik sebagai pegawai penyiasat kes berkenaan. - Sinar Harian