KAJANG: Keperluan terhadap tenaga mahir dalam sektor harta tanah terus meningkat seiring perkembangan pembangunan negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada lepasan sekolah dan golongan yang berminat menceburi industri itu.
Sehubungan itu, Institut Penilaian Negara (INSPEN) membuka pengambilan pelajar bagi pelbagai Program Pendidikan Sijil Harta Tanah kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain menawarkan laluan pendidikan yang diiktiraf industri serta prospek kerjaya yang luas.
Menurut Pengarah Institut Penilaian Negara (INSPEN), Sr Rosliza Ramli, bidang harta tanah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara kerana setiap projek pembangunan memerlukan tenaga profesional dalam bidang penilaian, pengurusan dan agensi harta tanah.
Katanya, golongan profesional dalam bidang itu bukan sahaja menentukan nilai sesuatu harta secara tepat dan adil, malah membantu mengurus serta mengendalikan urusan harta tanah secara sistematik dan berintegriti.
"Setiap pembangunan yang kita lihat hari ini, sama ada rumah, bangunan pejabat, pusat beli-belah, hospital ataupun sekolah, memerlukan penglibatan tenaga profesional dalam bidang penilaian, pengurusan dan agensi harta tanah.
"Secara tidak langsung, bidang ini menyokong pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara terancang demi kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, di Institut Penilaian Negara (INSPEN), di sini, baru-baru ini.
Rosliza berkata, INSPEN yang ditubuhkan pada tahun 1985 di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan telah menawarkan program pendidikan kepada lepasan SPM dan orang awam sejak tahun 2003 selepas didaftarkan sebagai institusi pendidikan.
Beliau menambah, INSPEN kini menawarkan empat program pengajian iaitu Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT), Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT), Sijil Agensi Harta Tanah (CEA) dan Certified Property Management Programme (CPMP) yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan industri pengurusan harta.
"Program-program pengajian yang ditawarkan oleh INSPEN adalah Sijil Penilaian Harta Tanah (SPHT), Sijil Pengurusan Harta Tanah (SPGT), Sijil Agensi Harta Tanah (CEA) dan program baharu Certified Property Management Programme (CPMP).
"Program-program ini turut mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, pengambilan pelajar bagi Program Pendidikan Sijil Harta Tanah dibuka dari Mac hingga Oktober setiap tahun.
Rosliza turut menjelaskan bahawa INSPEN menawarkan dua mod pengajian, iaitu Mod Perdana bagi lepasan SPM serta Mod Eksekutif yang dikhususkan kepada individu yang telah bekerja dan berhasrat belajar dalam bidang harta tanah secara separuh masa.
Menurutnya lagi, pelajar turut menikmati pelbagai kemudahan termasuk yuran pengajian yang berpatutan, bantuan makan pelajar sebanyak RM20 sehari bagi Mod Perdana, penginapan asrama percuma, pensyarah berpengalaman serta kemudahan pembelajaran yang kondusif.
"Antara kelebihan yang akan diperoleh oleh pelajar INSPEN ialah program-program yang mendapat akreditasi, yuran yang berpatutan, bantuan makan, penginapan asrama percuma, pensyarah berpengalaman serta fasiliti pembelajaran yang kondusif."
Selain itu, Program CEA dan CPMP turut mendapat kelulusan HRD Corp., sekali gus membolehkan peserta program eksekutif membuat tuntutan yuran pengajian yang telah dibayar.
Beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan INSPEN kini melebihi 95 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap tenaga profesional dalam sektor harta tanah.
Rosliza berkata, graduan INSPEN juga berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Harta Tanah di universiti awam seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi laluan APEL-A yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Mengulas lanjut, Rosliza berkata, graduan bidang harta tanah tidak hanya berpeluang menjadi ejen harta tanah, malah boleh membina kerjaya sebagai penilai harta berdaftar, pengurus harta berdaftar, perunding harta tanah, pengurus aset, pengurus fasiliti serta pegawai di sektor kerajaan, institusi kewangan dan syarikat pemaju.
Permohonan bagi Program Pendidikan Sijil Harta Tanah INSPEN boleh dibuat secara dalam talian menerusi icms.inspen.gov.my .
Maklumat lanjut mengenai syarat kemasukan, program pengajian serta pelbagai inisiatif INSPEN boleh didapati melalui laman web dan media sosial rasmi institut itu.