Skip to main content

Malaysia

ISES 2026: NEEAP 2.0 sasar penjimatan RM85.24 bilion

Akmal Nasrullah, ISES (Credit: Astro AWANI)
Akmal Nasrullah menekankan NEEAP 2.0 yang dilancarkan sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 akan menjadi fasa seterusnya usaha negara meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga bagi tempoh 2026 hingga 2035. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026–2035 (NEEAP 2.0) menyasarkan penjimatan sebanyak RM85.24 bilion dalam tempoh 10 tahun, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata NEEAP 2.0 yang dilancarkan sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 akan menjadi fasa seterusnya usaha negara meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Katanya, pelaksanaan fasa kedua itu akan berpandukan dan diselaraskan dengan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang diluluskan Parlimen pada 2024.

“Dalam NEEAP 2.0 ini, tumpuan itu juga diberikan bukan hanya semata-mata kepada bekalan elektrik, tetapi juga kepada termal.

“Maka sebab itu, dari segi sasaran penjimatan yang kita jangkakan untuk tempoh sekitar 10 tahun ini adalah sebanyak RM85.24 bilion,” katanya ketika sesi sidang media pelancaran rasmi Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026–2035 (NEEAP 2.0) sempena ISES ke-7 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.

Akmal Nasrullah berkata kecekapan tenaga merupakan antara langkah paling berkesan untuk memastikan penggunaan tenaga lebih efisien dengan NEEAP 2.0 memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu industri, domestik dan komersial.

“Ini adalah antara langkah yang paling efektif untuk kita memastikan penggunaan tenaga itu lebih efisien kerana kita fokuskan juga kepada tiga segmen, iaitu daripada pihak industri, domestik dan pihak komersial,” ujarnya.

Beliau sebelum itu dalam ucapan perasmian ISES 2026 menegaskan bahawa usaha meningkatkan bekalan tenaga bersih perlu bergerak seiring dengan perubahan terhadap cara tenaga digunakan.

Menurut Akmal Nasrullah, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara pertama yang dilaksanakan selama 10 tahun berjaya menjimatkan 60,886 gigawatt-jam elektrik, melebihi sasaran 52,233 gigawatt-jam.

Pencapaian itu bersamaan pengurangan anggaran 35.6 juta tan karbon dioksida setara dan penjimatan kira-kira RM16.1 bilion.

Akmal Nasrullah berkata Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga menandakan perubahan penting ke arah menginstitusikan kecekapan tenaga dalam seluruh ekonomi, termasuk menerusi pengurusan tenaga terma.

Beliau berkata penggunaan teknologi digital dan sistem pengurusan tenaga pintar turut akan diperluas bagi membantu pengguna mengoptimumkan penggunaan tenaga, meningkatkan daya saing serta mengurangkan tekanan terhadap grid.

“Kecekapan tenaga mesti menjadi amalan perniagaan standard dan alat produktiviti nasional, dan akhirnya menjadi satu cara hidup,” tambahnya.

Dalam memastikan peralihan tenaga kekal adil dan berteraskan rakyat, beliau berkata pengguna domestik yang menggunakan 600 kilowatt-jam elektrik sebulan dan ke bawah terus dikecualikan daripada surcaj tarif.

Katanya, langkah itu melindungi majoriti isi rumah di samping membolehkan bantuan disasarkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang memerlukannya.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata penyertaan dalam sektor tenaga turut diperluas menerusi solar atas bumbung, model berasaskan komuniti dan mekanisme agregasi, selain pembangunan bakat dalam bidang solar, teknologi grid, penyimpanan tenaga, kecekapan tenaga, hidrogen dan industri tenaga bersih lain.

“Peralihan ini mesti mewujudkan laluan untuk rakyat Malaysia dan perusahaan domestik bergerak ke arah aktiviti yang mempunyai nilai lebih tinggi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata peralihan tenaga negara perlu dilaksanakan secara berdisiplin bagi menjamin bekalan tenaga mencukupi dan boleh dipercayai, menyokong ekonomi yang kompetitif serta memastikan kos dan manfaat peralihan dikongsi secara adil.

ISES 2026 bertemakan “Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders” menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, pelabur, inovator dan pemegang taruh tenaga dari seluruh rantau bagi memperkukuh kerjasama dalam peralihan tenaga lestari.

Must Watch Video

Advertisement