PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula untuk dirakam keterangan tambahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu ini.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia mungkin akan ditangguh bergantung kepada tahap kesihatan Ismail Sabri.

“Ekoran penemuan wang tunai sebelum ini, SPRM akan ambil rakaman percakapan semula atau tambahan daripada Ismail Sabri bergantung kepada tahap kesihatan beliau.

“Kita jangka rakaman percakapan ini akan dibuat pada Rabu ini.

“Rakaman akan berkisar daripada pengisytiharan harta beliau dan juga berhubung kes yang sedang disiasat sekarang ini,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.

BACA: Ismail Sabri adalah suspek, bukan dipanggil sebagai saksi - Azam Baki

Pada Ahad, SPRM mengesahkan Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ismail Sabri menerajui kerajaan.

SPRM turut mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggar bernilai RM7 juta.